Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Bantu Usahawan, Wujudkan Agro Bazar – Uda Sulai

By 16 Jun 2019Tiada komen6 minit bacaan

Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

PUTATAN, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai menyokong hasrat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan untuk mewujudkan Agro Bazaar bagi membantu usahawan di daerah itu.

Menurutnya, imej ahli Persatuan Peladang kini tidak seperti dahulu yang bergantung kepada hasil pertanian sahaja, mereka mesti meneroka cara lain iaitu bidang perniagaan dan perkhidmatan seperti Agro Bazar agar dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka.

“Namun begitu, saya berpendapat dan mengharapkan supaya PPK ini mengambil inisiatif atas kewujudan Agro Bazar itu nanti, supaya kalau boleh yang berniaga di pasar tamu ini biarlah dipelopori penduduk Putatan.

“Saya lihat ramai yang datang berniaga di sini dan beroleh pulangan yang banyak membuktikan adanya permintaan dan kuasa beli di kawasan ini yang harus direbut oleh komuniti Putatan juga,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Putatan.

Ketibaan Uda disambut oleh ahli-ahli PPK.

Ketibaan Uda disambut oleh ahli-ahli PPK.

Uda turut menyeru agar masyarakat khususnya belia dan beliawanis untuk tidak memilih pekerjaan kerana lebih suka bekerja di pejabat, sedangkan realitinya pendapatan di luar lebih besar daripada bekerja di pejabat jika rajin berusaha.

Uda juga mengharapkan agar Putatan menjadi pusat agro pelancong dan mempunyai produk keluarannya sendiri satu hari nanti, contohnya perusahaan sedia ada seperti Rockmelon.

“Usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini adalah untuk membantu bukan hanya daripada PPK tetapi juga kepada yang berminat dalam bidang pertanian untuk menjadikan tanaman Rockmelon ini sebagai satu produk dari Putatan.

“Pada masa akan datang, sesiapa yang ingin melawat Putatan pastinya dapat melihat yang kita sudah ada produk sendiri, terpulang kepada peladang untuk mengenalpasti satu produk yang boleh menaikkan imej daerah ini sebagai tempat agro pelancongan.

Uda ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Uda ketika menyampaikan ucapan perasmian.

“Saya lihat produk pelancongan adalah yang paling sesuai sebagai produk untuk memajukan Putatan ini kerana lokasinya yang terletak di pinggir bandar.

“Memandangkan tanah di Putatan ini sangat kecil manakala rumah hijau yang ada untuk perladangan pula sangat terhad, saya rasa kerajaan harus menambah lagi jumlahnya agar dapat menampung ramai peserta untuk menceburi bidang ini,” ujar Uda.

Uda turut menyeru masyarakat mengambil peluang akan dasar kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) membantu usahawan yang ingin berkecimpung untuk memelihara burung Walit kerana terbukti dapat menghasilkan pendapatan yang lumayan.

“Burung walit ini tidak semestinya di dalam gua, rumahnya itu kita boleh buat sendiri, cuma sebelum melakukannya kita perlu pohon dulu dari kementerian dan mereka akan mengkaji samada sesuatu tempat yang akan didirikan rumah burung walit itu akan ada penghuninya pada masa akan datang sebelum usahawan diberikan geran.

Sesi taklimat perniagaan yang dihadiri peserta pada awal pagi.

Sesi taklimat perniagaan yang dihadiri peserta pada awal pagi.

“Saya sarankan ahli-ahli persatuan peladang menceburi perusahaan ini, tambahan pula ia tidak memerlukan banyak tanah, apa yang penting koloni burung walit ada di sekitar situ,” jelasnya.

Uda juga berharap agar rakyat dapat menyokong kerajaan yang ada sekarang, agar segala usaha untuk memajukan kawasan dan setiap projek yang dijalankan sentiasa mendapat sokongan rakyat.

Tambahnya juga, semua yang dilakukan adalah untuk kepentingan rakyat seperti yang dikatakan oleh Ketua Menteri bahawa kerajaan kini akan tubuhkan sebanyak mana industri yang berasakan sumber semulajadi supaya masyarakat sekitar tidak lagi keluar negeri untuk mencari peluang pekerjaan.

Uda berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPK Putatan pada Sabtu.

Uda(dua dari kiri) menyampaikan sijil dan hadiah kepada Nanih Abah(dua dari kanan) yang memenangi kategori Ketua Unit Aktif.

Uda (dua dari kiri) menyampaikan sijil dan hadiah kepada Nanih Abah (dua dari kanan) yang memenangi kategori Ketua Unit Aktif.

Pada majlis tersebut, Uda turut menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah pemenang untuk kategori Ketua Unit Aktif kepada Nanih Abah manakala Unit Peladang Sendil menerima sijil untuk Unit Peladang Terbaik.

Saham Tertinggi yang dikutip sebanyak RM290 diterima oleh Latip Jiar, Muhamad Said dan Karim Wang manakala ahli yang melanggan di PPK Tertinggi diterima oleh Amin Motai dan Datin Seri Irene @ Irene Siyu.

Selain itu, turut disampaikan juga hadiah Kecemerlangan akademik kepada anak ahli peladang iaitu Nurain Marzuki, 18, yang mendapat 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, dan hadiah Pertandingan Pertanian Bandar yang dimenangi oleh Unit Lembising Taun di tempat pertama diikuti oleh Unit Talang Taun dan Unit Lok Bunoh.

Dua anugerah khas juga turut diberikan kepada Pengerusi Ahli Jemaah PPK Putatan, Datuk Seri Arsit Sedi dan ahli jemaah PPK Putatan, Amiludin Majin.

Dalam pada itu, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Anita Misuari menjelaskan Pertubuhan Peladang ini umpama sebuah koperasi yang dimiliki oleh ahli-ahli yang membeli saham.

Uda(tiga dari kiri) menyampaikan sijil dan hadiah kepada penerima Saham Tertinggi, Latif Jiar (dua dari kiri)

Uda (tiga dari kiri) menyampaikan sijil dan hadiah kepada penerima Saham Tertinggi, Latif Jiar (dua dari kiri)

“Aktivitinya, mereka boleh buat apa sahaja perniagaan untuk menghasilkan pendapatan seperti pemasaran, IKS, berniaga di Agro Bazaar, perniagaan kiosk dan juga pemasaran atas talian.

“Mereka perlu menghasilkan pendapatan supaya mereka mempunyai kebebasan kewangan bagi membiayai aktiviti, membayar dividen dan juga untuk membuat aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Sebagai contoh, PPK yang aktif seperti di Tawau, apabila mereka ada banyak keuntungan, mereka akan masukkan ke dalam kumpulan wang, di mana dalam kumpulan wang ini ada kebajikan am, kebajikan ahli dan juga pendidikan yang semuanya digunakan untuk aktiviti ahli sendiri.

“Jika simpanan sudah banyak, mereka boleh gunakan untuk membuat lawatan, menganjurkan kursus, kelas motivasi untuk anak-anak ahli, bantuan untuk ahli yang ditimpa musibah dan dengan itu juga ekonomi sosial komuniti tersebut akan meningkat dan ini lah semangat pertubuhan peladang,” jelasnya.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Anita Misuari.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Anita Misuari.

Tambah Anita, para usahawan ini merupakan ahli sukarela dan tidak dibayar gaji, malahan mereka jugalah yang memberi sumbangan dan idea dalam apa juga perniagaan seterusnya ahli lembaga sendiri yang akan menimbang cadangan-cadangan tersebut.

Katanya, LPP juga sebagai agensi kerajaan memberi bantuan dengan memberi premis bangunan beserta geran pelancaran berjumlah RM50 ribu dan juga kenderaan berupa lori dan sekiranya ada CSR yang ingin dilaksanakan di bawah skop agro makanan, LPP ada peruntukan untuk itu.

“Ini yang kita mahu, kerajaan melalui Kementerian Pertanian Malaysia dan agensi LPP membantu Pertubuhan Peladang dan seterusnya PPK pula membantu ahli-ahli.

“Di bawah LPP juga ada skop untuk membina Agro Bazaar seperti yang sudah ada di Kudat, Inanam dan Tuaran dan jika Putatan juga berminat, kami sokong, yang penting strategik dan berdaya maju.

Uda ketika melawat gerai usahawan tempe.

Uda ketika melawat gerai usahawan tempe.

“Kami memang ada peruntukan untuk menyediakan peralatan-peralatan seperti bilik sejuk, freezer, rak-rak juga termasuk mesin kira wang secara percuma.

“Jika sesiapa mahu jadi ahli PPK, mereka boleh memohon dengan datang ke 26 pejabat PPK di Sabah, yang kini mempunyai 78 ribu orang ahli,” ujarnya.

Menurutnya, usahawan-usahawan ini mengusahakan sesuatu mengikut kawasan masing-masing contohnya di Beluran, ramai yang mengusahakan rumah burung walit dengan jualan kira-kira RM10 ribu untuk dua kilogram hasil yang dijual.

“Lebih memudahkan apabila sekarang ini AgroBank dan Pertubuhan Peladang menjalinkan kerjasama strategik di mana Agro Bank menyediakan pembiayaan untuk ahli-ahli membesarkan dan menambah bilangan rumah burung walit dengan kadar yang sangat kompetitif.

Udang Kara air tawar, perniagaan baharu yang mampu mmebantu ekonomi usahawan Putatan

Udang Kara air tawar, perniagaan baharu yang mampu membantu ekonomi usahawan Putatan

“Jika dahulu Beluran dikenali kerana ramai rakyat termiskin, alhamdulillah tiga tahun kebelakangan ini beratus-ratus pengusaha kita di sana yang dahulunya merupakan nelayan dan petani kini mempunyai pendapatan yang lumayan.

“Geran Agropreneur Muda di bawah MOA juga disalurkan melalui agensi-agensi seperti LPP, FAMA dan MARDI, sementara itu di bawah LPP pula ada IKS dan Pengeluaran Bahan Makanan untuk usahawan berusia 18 hingga 40 tahun.

“Jika ada usahawan yang ingin menjalankan perniagaan sejuk beku, mereka boleh memohon geran Agropreneur muda ini, hanya perlu buat rancangan perniagaan kita akan semak dan bantu,” jelasnya.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengerusi PKK Putatan, Datuk Seri Arsit Sedi; Penolong Pegawai Daerah Putatan, Zainuddin Awang dan Pengurus Besar PPK Putatan, Abdul Hasrul Sulaiman.

-EM

Tinggalkan komen anda