Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Gaji dan Elaun 82 Ribu Anggota Polis Dikaji

By 15 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Pai Syahira / Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Kenaikan kadar gaji dan elaun melibatkan  kira-kira 82,000 anggota polis berpangkat sarjan dan ke bawah di seluruh Malaysia akan dipertimbangkan segera.

Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, kertas laporan kajian berhubung cadangan kenaikan gaji serta elaun tersebut akan diserahkan kepada kerajaan dalam tempoh dua bulan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata peratus kadar kenaikan tersebut akan ditentukan sepenuhnya oleh keputusan Kabinet mengikut kemampuan kewangan kerajaan ketika ini.

Menurut Abdul Rahim lagi, PDRM mengambil pendekatan ini kerana isu gaji menjadi antara sebab anggota terlibat masalah salah laku termasuk rasuah dan kali terakhir kajian kenaikan gaji dan elaun dilakukan adalah pada 2010.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata gaji yang diterima anggota berpangkat sarjan ke bawah adalah rendah dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutama bagi mereka yang bertugas di bandar-bandar besar dan keperluan mereka akan diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan Sang Saka Biru.

“Kita akan kemukakan kepada pucuk pimpinan dan seterusnya pada pihak kerajaan dalam masa yang terdekat ini. Kita faham bahawa kerajaan menghadapi masalah dari segi kewangan dan sebagainya tetapi ini adalah hak anggota-anggota yang dinyatakan dan perkara ini saya rasa kerajaan pun mengambil berat perkara ini,” ulas Abdul Rahim.

Beliau berkata demikian selepas majlis serahkan tugas Ketua Polis Pahang Komisioner Datuk Seri Mohd. Zakaria Ahmad kepada Deputi Komisioner Datuk Mohd Yusri Hassan Basri yang akan memangku jawatan Ketua Polis Pahang.

Dalam pada itu, Mohd. Zakaria akan memulakan tugas baharu sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Kuala Lumpur berkuat kuasa 17 Jun 2019.

 

-KN

Tinggalkan komen anda