Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Kelangsungan Perahu Tambang Sungai Sarawak

By 25 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

KUCHING, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Perahu penambang ataupun perahu tambang dahulunya merupakan pengangkutan utama bagi penduduk setempat berulang-alik dari penempatan utama di tebingan sungai ke pejabat pentadbiran kerajaan di pusat bandar.

Biarpun sudah tidak serancak dahulu, perkhidmatan perahu tradisional ini masih ditagih penduduk setempat dan sesekali pelancong yang ingin merasai perkhidmatan yang wujud sejak zaman kolonial ini lagi.

Seorang pengusaha perahu tambang Bolhi Yahya, 64, menjelaskan pekerjaan ini bukan sahaja untuk mencari pendapatan malah sebagai penyambung tradisi.

“Saya memulakan perkhidmatan ini sejak empat tahun dahulu selepas bersara sebagai penjawat awam setelah mengambil kira pelbagai faktor.

Bolhi masih gagah mengemudi perahu miliknya.

Bolhi masih gagah mengemudi perahu miliknya.

“Kepuasan dapat membantu mereka yang memerlukan perkhidmatan ini seperti pelajar sekolah, pekerja mahupun pelancong menjadikan saya puas daripada tidak melakukan apa-apa selepas tidak lagi bertugas,” ujar bekas Pembantu Tadbir Kanan Hospital Umum Sarawak ini.

Menurut Bolhi, apa yang penting dalam mengusahakan perkhidmatan ini adalah keutamaan keselamatan penumpang dan sokongan daripada pihak tertentu amat diperlukan.

“Setiap perahu diwajibkan untuk menyediakan jaket keselamatan dan jaket ini harus diganti apabila sudah lusuh namun untuk pengusaha seperti kami ini yang pendapatannya tidak seberapa, satu jaket yang berharga seratus ringgit ke atas ini agak mahal bagi kami.

“Sekiranya mendapat bantuan daripada pihak-pihak tertentu, ini pasti menggembirakan kami. Selain jaket keselamatan, pemadam kebakaran juga perlu ada dalam setiap bot dan saya amat berharap agar ada pihak yang dapat membantu,” ujarnya lagi.

Bolhi menunjukkan jaket keselamatan yang terdapat di dalam perahu tambang miliknya.

Bolhi menunjukkan jaket keselamatan yang terdapat di dalam perahu tambang miliknya.

Bolhi turut berharap agar ada persatuan yang menjaga kebajikan pengusaha bot tambang sepertinya ini dapat diwujudkan.

“Dahulunya pernah ada persatuan yang menjaga ehwal kebajikan kami namun sekarang persatuan tersebut telah berkubur. Apabila tiada persatuan, agak sukar untuk kami menyuarakan hasrat hati apatah lagi untuk mendapatkan sebarang bantuan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Mengulas isu pembukaan Jambatan Darul Hana pada penghujung tahun 2017 yang dikatakan menjejaskan pendapat pengusaha bot ini, Bolhi turut berharap pihak kerajaan dapat memberi perhatian kepada pengusaha perahu tambang tradisional sepertinya.

Waktu operasi jambatan tersebut mungkin boleh dikaji semula bagi memberikan situasi menang-menang baik kepada pengusaha dan pihak kerajaan.

Waktu operasi jambatan tersebut mungkin boleh dikaji semula bagi memberikan situasi menang-menang baik kepada pengusaha dan pihak kerajaan.

“Sejak pembukaan jambatan tersebut pendapatan kami berkurangan sehingga 60 peratus, malah mereka yang beroperasi berdekatan jambatan pendapatan menurun sehingga 80 peratus.

“Sekiranya dapat dikaji semula waktu operasi jambatan seperti menutup jambatan pada waktu-waktu tertentu bagi membolehkan kami mendapat lebih penumpang yang ingin ke seberang itu sudah memadai bagi kami,” tambahnya yang mengenakan tambang sebanyak 30 sen bagi anak-anak sekolah, 50 sen bagi warga tempatan dan seringgit bagi pelancong.

Bolhi dan rakan-rakan pengusaha perahu ini bukanlah ingin meraih pendapatan lumayan, cukup sekadar membawa pulang rezeki untuk anak dan isteri serta menyambung legasi pekerjaan ini yang menjadi sebahagian daripada identiti negeri bumi kenyalang ini.

Tinggalkan komen anda