Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Kembara Media Terokai Negeri Perak

By 30 Jun 2019Julai 18th, 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Norlydiana Ishak/Unit Foto Jabatan Penerangan Malaysia

IPOH, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai 23 orang pengamal media (media cetak, elektronik dan online) daripada 16 agensi seluruh Malaysia menyertai program Kembara Media Perak (KMP) 2019 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).

Program KMP bermula 28 Jun hingga 1 Julai 2019 merupakan program tahunan JaPen dan kini memasuki tahun ke-14 penganjuran yang membawa pengamal media menjelajah tempat-tempat menarik sekitar Negeri Perak.

Dalam pada itu, Movie Animation Park Studio (MAPS) taman tema animasi pertama di Asia yang terletak di Ipoh, Perak merupakan antara destinasi kunjungan Kembara Media pada hari pertama.

Apa yang menarik, kemasukan MAPS adalah percuma dan para pengunjung hanya perlu membayar menerusi sistem kupon sekiranya mahu bermain permainan atau menonton persembahan di taman tema tersebut.

Sebelah malam pula, para pengamal media menghadiri Makan Malam Bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di The Lost World Of Tambun.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berucap di Majlis Makan Malam Kembara Media Perak 2019

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berucap di Majlis Makan Malam Kembara Media Perak 2019

Terdahulu, Ahmad Faizal menzahirkan rasa teruja dan gembira menerima kunjungan para peserta KMP 2019.

“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan bagi membolehkan rakan-rakan media turun padang melihat sendiri  keadaan di sesuatu tempat agar setiap pelaporan itu dapat dibuat dengan lebih tepat.

“Kerajaan Negeri Perak sedang fokus kepada Bandaraya Ipoh kerana yakin ia menjadi tumpuan utama para pelancong memandangkan mereka juga boleh melawat ke tempat menarik yang lain di Perak seperti Lenggong, Pasir Salak, Kuala Kangsar, Lumut dan lain-lain yang terletak tidak terlalu jauh.

“Jadi mereka boleh melakukan lawatan dalam perjalanan seharian,” katanya ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Kembara Media Perak 2019 di sini, kelmarin.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri Perak merangka untuk memperbanyakkan lagi program dan aktiviti yang menarik dalam usaha meningkatkan jumlah kemasukan pelancong melawat negeri ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) JaPen, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid (dua dari kiri) menyampaikan cenderhati KMP 2019 kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua dari kanan)

Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) JaPen, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid (dua dari kiri) menyampaikan cenderhati KMP 2019 kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua dari kanan)

Beliau juga memaklumkan penerbangan carter Guangzhou – Ipoh akan bermula Oktober ini bagi menarik pelancong China ke negeri Perak.

Tempahan tiket bagi penerbangan di Lapangan Terbang Pangkor juga mendapat sambutan amat menggalakkan setakat ini.

“Saya jangka lonjakan jumlah pelancong ke Perak akan meningkat dan yakin akan menerima pelancong tempatan yang tertinggi berbanding negeri lain terutamanya dari ibu negara dan Pulau Pinang,” ujarnya lagi.

Turut hadir pada majlis makan malam, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Perak Tan Kar Hing, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Malaysia Datuk Mohd Sukari Ab Hamid, Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JaPen Dr. Haniff Hassan dan Pengarah JaPen Perak Taib ubah.

-EM

Tinggalkan komen anda