Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Ketupat Palas Warisan Berzaman, Juadah Istimewa Hari Lebaran

By 2 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohamad Roslan Hussin (Bachok)

BACHOK, 2 Jun (Malaysiaaktif) – Setiap kali menjelang perayaan Aidilfitri dan Aidiladha, ‘Ketupat Palas’ atau Ketupat Daun Palas secara tradisinya menjadi pelengkap menu hidangan bagi masyarakat Pantai Timur, khususnya di Kelantan.

Ketupat Palas dikategorikan sebagai makanan sampingan yang lazimnya berperisa manis dan lemak. Manakala pelengkap bagi Ketupat Palas pula ialah serunding atau rendang.

Penyediaan Ketupat Palas memerlukan beberapa proses dan bahan tertentu. Ketupat dihasilkan melalui beras pulut yang dimasak terlebih dahulu dan diarung atau adun dengan santan kelapa serta gula dan sedikit garam.

Proses mengarung akan mengambil masa yang lama bagi memastikan pulut teradun sebati dengan bahan-bahan lain sebelum dibungkus.

Daun Palas yang belum diasingkan dari pelepahnya ada dijual di pasar

Daun Palas yang belum diasingkan dari pelepahnya ada dijual di pasar

Daun palas yang digunakan untuk membungkus ketupat, terlebih dahulu dipilih dan dibuka serta digulung untuk dikeringkan bagi memudahkan proses pembungkusan, lazimnya daun palas dibiarkan kering dan terbuka dalam tempoh beberapa hari.

Setelah adunan pulut sebati, ianya dibungkus rapi dan padat dalam bentuk tiga segi serta diikat ketat pada tangkainya bagi memastikan kekal dalam bentuknya.

Kemudiannya ketupat direbus atau dikukus dalam tempoh beberapa jam bagi mengenyah kandungan air serta minyak di dalam pulut ia  bertujuan mematangkan pulut dan membuatkan ketupat bertahan daripada basi dalam tempoh beberapa hari.

Tinjauan MalaysiaAktif ke Pasar Jelawat, Bachok mendapati Ketupat Palas masih terus mendapat permintaan khususnya menjelang Aidilfitri.

Beras Pulut yang biasa digunakan untuk membuat Ketupat Palas sekarang

Beras Pulut yang biasa digunakan untuk membuat Ketupat Palas 

Menurut Mak Limah, 46, yang menjual Ketupat Palas di Pasar Jelawat berkata proses pembuatan yang lama dan rumit menyebabkan orang ramai membeli Ketupat Palas yang telah siap.

“Tuntutan kerja, kekangan masa serta kurang mahir membuatkan mereka membeli yang telah siap dan ini juga secara tidak langsung menyumbang rezeki tambahan kepada kami pengusaha,” ujar Mak Limah lagi.

Manakala seorang lagi penjual Ketupat Palas yang mesra dengan panggilan Kak Jah berkata bahan-bahan untuk membuat ketupat juga turut meningkat sekarang, termasuklah daun palas dan menyebabkan harga Ketupat Palas pun turut meningkat.

Salah seorang pembeli, Mak Cik Kalsom, 55, berkata beliau lebih menyukai Ketupat Palas tradisional kerana rasa yang enak dan lemak, berbanding dengan ketupat yang divariasikan perisanya.

Sementara itu pula, Pak Yusof, 48, berkata perubahan masa telah menyebabkan Ketupat Palas dibuat dengan pelbagai perisa seperti berintikan sambal ikan atau sambal daging yang di goreng garing.

“Membuat Ketupat Palas memang rumit dan lama, lagi pun saya kurang mahir khususnya semasa proses mengarung pulut,” ujar Melah Othman, 38, yang merupakan penggemar Ketupat Palas.

Beliau berharap seni pembuatan makanan tradisional ini terus diwarisi generasi muda.

Ketupat Palas makanan tradisi Kelantan masih tetap menjadi pilihan di hari raya dalam kepelbagaian perisa mengikut selera pengemarnya. Secara tradisinya sambutan Aidilfitri di Kelantan bagaikan tidak lengkap tanpa hidangan Ketupat Palas atau ‘Ketupat Tiga Bucu’.

-NAZ

Tinggalkan komen anda