Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

20 Anak Ahli KAPSA Terima Tajaan Jakel Silk House

By 1 Jun 2019Tiada komen4 minit bacaan

Laporan/foto: Idris Sani Saberun & Asmidar Zainol/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 1 Jun (Malaysiaaktif) – Ramadan merupakan bulan penuh kemuliaan yang menyatukan hati umat Islam serta memperkukuhkan lagi ikatan silaturrahim.

Dari segi rohaniah, antara manfaat amalan berpuasa adalah ia mampu mendorong seseorang itu untuk membuat kebaikan sama ada kepada diri sendiri, keluarga, rakan atau komuniti sekitar.

Atas semangat Ramadan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan, Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah melalui Kelab Anggota JaPen Sabah (KAPSA) buat pertama kalinya menerima tajaan Jakel Silk House.

Norzawiyah menyampaikan ucapan pada majlis Iftar Jakel bersama KAPSA.

Norzawiyah menyampaikan ucapan pada majlis Iftar Jakel bersama KAPSA.

Sebanyak 20 pasang baju raya diberikan kepada 20 orang anak-anak ahli kelab berkenaan bagi membantu meringankan persediaan sambutan Syawal yang bakal menjelma beberapa hari sahaja lagi.

Pengarah JaPen Sabah, Norzawiyah Bulka berkata, usaha tersebut merupakan salah satu jalinan kerjasama antara jabatan kerajaan dengan pihak swasta.

“Kami amat menghargai sumbangan Jakel kepada anak-anak ahli KAPSA kerana ia bukan sahaja dapat meringankan perbelanjaan ibu bapa tetapi juga menceriakan anak-anak dalam menyambut lebaran minggu hadapan.

Norzawiyah (kiri) dan Repinah (tengah) membantu Nur Alia (kanan) memilih baju kurung koleks Jakel.

Norzawiyah (kiri) dan Repinah (tengah) membantu Nur Alia (kanan) memilih baju kurung koleks Jakel.

“Kami juga berharap kerjasama yang terjalin ini akan dapat dipereratkan lagi dengan berkolaborasi dalam program-program anjuran JaPen Sabah pada masa hadapan,” ujarnya dalam Program Iftar Jalinan Kasih Ramadan Jakel bersama KAPSA di Alam Mesra, pada Rabu.

Norzawiyah turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ahli Jawatankuasa KAPSA yang diterajui Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Yunus Saprin di atas usaha khidmat kemasyarakatan yang dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Seorang anak anggota JaPen, Danish Ilham Badrul, berasa sangat teruja kerana inilah pertama kali dia melangkah masuk ke gedung pakaian Jakel.

Danish Ilham dibantu Badrul (duduk kiri) dan Yunus (dua dari kiri) mencuba Baju Melayu jenama Upin Ipin.

Danish Ilham dibantu Badrul (duduk kiri) dan Yunus (dua dari kiri) mencuba Baju Melayu jenama Upin Ipin.

Melihat pelbagai pakaian dengan pelbagai pilihan warna membuatkan dia begitu gembira sehinggakan sukar untuknya membuat pilihan.

Pelajar tahun dua di Sekolah Kebangsaan Tebobon itu amat gembira apabila terpilih sebagai penerima sumbangan baju raya daripada Jakel.

Menurut ayah kepada Danish, Badrul Tabid, menzahirkan rasa syukur beliau kerana anaknya terpilih sebagai salah seorang penerima.

Amran (kiri) menunjukan koleksi samping Jakel kepada Yunus (kanan)

Amran (kiri) menunjukan koleksi samping Jakel kepada Yunus (kanan)

Beliau yang mempunyai tiga cahaya mata menyatakan bahawa sumbangan ini sedikit sebanyak mampu meringankan kos persiapan raya pada tahun ini.

“Setakat ini persiapan raya hanya sederhana, yang penting saya dahulukan keperluan anak-anak.

“Selama 14 tahun bertugas sebagai Juru Audio Visual di JaPen inilah pertama kali saya dan keluarga menerima sumbangan sebegini.

Norzawiyah (tiga dari kanan) melakukan pemeriksaan kesihatan sambil diperhatikan Amran (dua dari kiri).

Norzawiyah (tiga dari kanan) melakukan pemeriksaan kesihatan sambil diperhatikan Amran (dua dari kiri).

“Program hari ini amat baik sekali kerana ia benar-benar memberi manfaat kepada ahli dan diharap agar dapat diteruskan pada masa akan datang,” jelas Badrul.

Berkongsi perasaan yang sama, kakitangan JaPen Repinah Matnin, berasa amat bersyukur kerana anak keempatnya Nur Alia Syamimi Jamdin terpilih sebagai penerima sumbangan.

Repinah turut bersetuju bahawa program ini benar-benar dapat meringankan beban keluarga terutama kepada anggota JaPen di peringkat operasi.

Repinah menerima sumbangan yang disampaikan oleh Norzawiyah

Repinah menerima sumbangan yang disampaikan oleh Norzawiyah

“Saya mengharapkan agar KAPSA akan terus maju dalam membantu dan melakukan khidmat sosial tidak hanya kepada ahli KAPSA tetapi juga kepada keluarga mantan anggota JaPen Sabah yang memerlukan.

“Tahniah KAPSA dan terima kasih kepada pihak pengurusan JaPen Sabah dan Jakel kerana sumbangan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Jakel Silk House Cawangan Sabah, Mohd Amran Mohd Nor turut mengalu-alukan kerjasama dengan pihak JaPen Sabah.

Mohd Amran Mohd Nor

Mohd Amran Mohd Nor

“Kita amat mengalu-alukan kerjasama dengan pihak jabatan kerajaan, swasta atau mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.

“Selain tajaan pakaian, hari ini Jakel turut sama menyumbang bagi acara Iftar bersama anggota keluarga JaPen Sabah.

“Ia adalah sebagai memenuhi aspirasi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami dengan menyumbang kembali kepada masyarakat terutamanya kepada mereka yang kurang berkemampuan,” ujarnya.

Amran (kanan) menyampaikan sumbangan bubur lambuk kepada petugas-petugas Jabatan Patalogi & Unit Perubatan Transfusi Hospital Likas.

Amran (kanan) menyampaikan sumbangan bubur lambuk kepada petugas-petugas Jabatan Patalogi & Unit Perubatan Transfusi Hospital Likas.

Dalam pada itu, Mohd Amran juga memaklumkan, sebanyak 1,200 bekas bubur lambuk diagihkan kepada pelanggan dan mereka yang melalui kawasan Jakel Kota Kinabalu sebagai menghargai pelanggan.

“Selain bersama JaPen Sabah, kita juga berkerjasama dengan Syarikat Adabi dalam menyediakan empat kawah bubur lambuk yang mana warga Jakel dan Adabi bersama-sama menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan.

“Selain mengagihkan bubur lambuk, kami turut bekerjasama dengan pihak Tabung Darah Hospital Likas membuka kaunter menderma darah sebagai usaha membantu meningkatkan bekalan darah pada musim perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Raya Aidilfitri.

Salah seorang pengunjung melakukan pendermaan darah.

Salah seorang pengunjung melakukan pendermaan darah.

“Difahamkan setiap kali bulan Ramadan dan Syawal, stok bekalan darah di hospital akan turun dengan mendadak kerana tidak ramai penderma melakukan pendermaan pada waktu ini.

“Keadaan ini adalah disebabkan kekhuatiran masyarakat terhadap kemampuan diri untuk melakukan pendermaan darah terutama kepada yang berpuasa, selain tempoh cuti raya yang panjang pada bulan Syawal.

“Atas kesedaran itu, kami menganjurkan program ini dengan menggalakkan setiap pengunjung yang berjaya menderma darah, kami akan berikan baucar berjumlah RM30.00 yang boleh ditebus untuk pembelian pakaian di sini,

“Setakat ini sambutan bagi acara ini amat menggalakkan dan Insyallah kita akan teruskan lagi program-program sebegini pada tahun yang mendatang,” ujarnya.

-EM

Tinggalkan komen anda