
Laporan/foto: Norsaedah Haron/Abassalimi Mohamad (Kluang)
KLUANG, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai 226 orang pelajar Tingkatan Enam SMK Taman Kluang Barat didedahkan dengan tatacara pengundian mengikut proses yang sebenar menerusi Program Amalan Demokrasi Berparlimen Peringkat Daerah Kluang yang diadakan di sekolah terbabit, semalam.
Program yang julung kalinya diadakan di daerah Kluang ini merupakan program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kluang dengan kerjasama Kelab Malaysiaku SMK Taman Kluang Barat dan Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Johor.

Taklimat pilihan raya disampaikan oleh Timbalan Pengarah Operasi SPR Negeri Johor, Zaidad Abdul Samat.
Dalam taklimat yang telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Operasi SPR Negeri Johor, Mohd Zaidad Abdul Samat, pelajar telah didedahkan dengan prosedur yang perlu dipatuhi semasa mengundi termasuk tugasan yang perlu dilaksanakan oleh para petugas Pilihan Raya bagi setiap tempat mengundi.
Pelajar juga berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman mengundi bermula dari proses awal nama disebut sehinggalah kertas undian dimasukkan ke dalam kotak peti undi.
Malahan pelajar juga didapati teruja apabila jari mereka dicelup ke dalam dakwat hitam sebagai tanda mereka telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan membuang undi.
Sementara itu, salah seorang pelajar yang sempat ditemubual, Nor Farisha Mohd Diah berkata, program ini membuka peluang kepada pelajar tingkatan enam untuk belajar dan mendapat pengalaman tentang cara-cara mengundi, tambahan lagi mereka sudah pun berusia 19 tahun ketika ini dan akan mengundi dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Farahani dan Cecilia, ceria menunjukkan jari yang telah dicelup dengan dakwat hitam menandakan mereka telah selesai membuang undi
Farisha juga teruja apabila diberikan peluang untuk bertugas sebagai Petugas SPR di tempat mengundi, dengan memakai pakaian lengkap sebagai petugas SPR.
Salene Rameas, 19, yang merupakan salah seorang calon bagi simulasi Pilihan Raya yang diadakan berkata, program simulasi yang dilaksanakan ini akan menjadi satu pengalaman kepada semua pelajar kerana kesemua mereka belum pernah terlibat dengan situasi mengundi.
Seorang lagi calon, Abidin Rahim, 19, menyatakan bahawa program seperti ini banyak membantunya memberi pendedahan awal tentang bagaimana cara-cara untuk mengundi.
“Saya dapat maklumat tentang peranan Suruhanjaya Pilihanraya semasa Pilihan Raya dijalankan dan berpendapat program ini perlu dilaksanakan di sekolah lain bagi memberi peluang kepada pelajar sekolah untuk mendapat pendedahan tentang tatacara mengundi sebagai persediaan untuk mengundi pada masa hadapan,” ujarnya.
Wakil rasmi Pegawai Pendidikan Daerah Kluang, Fadzli Affandi Sapihie dalam ucapan perasmian penutupnya menyeru agar para peserta program yang terdiri daripada pelajar Tingkatan enam agar tidak lupa mendaftar sebagai pemilih apabila genap usia 21 tahun dan menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke 15 yang akan datang.
-EM