Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Johor Bakal Berpesta “Segalanya Durian”

By 20 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Muhd Shariffudin Abd Razak/Nurhalimah Mahmood/Mohd Najib Mohaini (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Musim durian yang amat sinonim dengan gelaran raja buah semestinya sangat dinantikan oleh penggemarnya di seluruh pelusuk negara.

Memahami kehendak peminat durian, Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Johor menganjurkan Ekspo Tani dan Pesta Buah-Buahan Negeri Johor 2019 pada 28 hingga 30 Jun ini bertempat di Padang Awam Majlis Perbandaran Segamat (MPS), Kampung Abdullah, Segamat.

Ekspo bertemakan “Segalanya Durian” pasti memberi kejutan kepada pengunjung yang hadir kerana para pengunjung disajikan pelbagai aktiviti yang berkaitan durian seperti Pertandingan Durian Unggul, Jualan Longgok dengan tawaran harga yang lebih murah berbanding harga pasaran serta pelbagai lagi aktiviti yang menarik.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor, Thosrin Javarnthi semasa sidang media dijalankan

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor, Thosrin Javarnthi semasa sidang media dijalankan.

Satu sidang media Ekspo Tani dan Pesta Buah-buahan Negeri Johor 2019 telah diadakan di Pejabat Pertanian Daerah Johor Bahru yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor, Thosrin Javarnthi semalam.

Beliau memberitahu bahawa penganjuran Ekspo ini bertujuan untuk mencari dan menambah koleksi baka durian Johor dan menyenaraikan pendaftaran Varieti Tanaman Kebangsaan yang berpotensi untuk dikembangkan dan dikomersialkan di peringkat antarabangsa.

“Selari dengan Negeri Johor sebagai salah sebuah hab pengeluar durian terbesar di negara ini, Kerajaan Negeri Johor telah merancang tiga ekspo berkaitan buah-buahan tempatan dan telah memperuntukkan sebanyak RM65,000.00 bagi menjayakan program-program ini,” ujar beliau.

Pengarah Pertanian Negeri Johor, Hishamuddin Ahmad

Pengarah Pertanian Negeri Johor, Hishamuddin Ahmad

Johor adalah pengeluar durian terbesar di negara ini diikuti Pahang dan Sarawak iaitu keluasan tanaman sehingga 15,630 hektar dengan nilai pengeluaran hasil sebanyak 692,464 tan pada 2017.

“Segamat adalah daerah pengeluar terbesar durian Johor dengan keluasan 4,372 hektar keluasan tanaman dan nilai pengeluaran sebanyak 10,546 tan pada 2017 diikuti Muar, Tangkak dan Batu Pahat,” katanya lagi.

Karnival yang akan diadakan selama tiga hari itu turut menyajikan pelbagai program seperti pesta makan durian dan buahan tempatan, jualan bazar durian, swafoto durian, pertandingan makan durian dan durian race akan turut diadakan selain pertunjukan automotif dan kebudayaan.

Turut hadir Pengarah Pertanian Negeri Johor, Hishamuddin Ahmad.

-EM

Tinggalkan komen anda