Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Reformasi Peladang Daerah Kluang Platform Memperkasakan Sektor Pertanian

By 23 Jun 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abassalimi Mohamad/Norsaedah Haron (Kluang)

KLUANG, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menganjurkan Program Reformasi Peladang Daerah Kluang pada 21 dan 22 Jun yang lalu bertempat di Persiaran Dato’ Hj Hassan Yunos.

Program berlangsung selama dua hari menyediakan pelbagai aktiviti menarik, santai serta ilmiah yang dianggarkan mendapat penyertaan seramai 1,000 orang peserta terdiri daripada kalangan ahli-ahli Peladang serta penduduk setempat dari pelbagai lapisan masyarakat.

Terdapat 10 segmen menarik disediakan kepada pengunjung sepanjang berlangsungnya program antaranya Cerna Tani, Agro Youth, Agro Kids, Agro Chef, Sihat Agro, Jualan Untuk Kita, Ziarah Peladang, Nostalgia Desa, Juadah Bonda dan Santai Malam.

Pengunjung yang hadir sepanjang program tersebut

Pengunjung yang hadir sepanjang program tersebut

Kursus dan seminar yang diadakan memberi pendedahan dan latihan secara teori dan praktikal kepada ahli-ahli Peladang serta penduduk setempat yang berminat untuk menerokai industri pertanian.

Selain segmen ilmiah pendedahan mengenai pertanian, terdapat juga segmen riadah untuk orang ramai seperti pertandingan memancing, street soccer, Zumba dan Supa Dupa untuk kanak-kanak.

Majlis Perasmian Program Reformasi Peladang Daeerah Kluang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi.

Produk makanan yang dihasilkan turut dipamerkan

Produk makanan yang dihasilkan turut dipamerkan

Tosrin berkata, perubahan atau pembaharuan ke arah yang lebih baik dalam bidang pertanian seperti yang ditekankan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani haruslah berlaku.

“Tidak terkecuali, inovasi dan pembaharuan haruslah dipelbagaikan dalam pelbagai sektor pertanian supaya dapat mencapai ke arah permodenan industri pertanian sekali gus dapat menjana keuntungan,” ujarnya semasa ucapan perasmian Program Reformasi Peladang Daerah Kluang.

Menurut Tosrin lagi, penekanan dan fokus terhadap memperkukuhkan aplikasi teknologi dalam sektor Agromakanan haruslah diperluaskan.

Peniaga ayam turut tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan Program Reformasi Peladang Daerah Kluang

Peniaga ayam turut tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan Program Reformasi Peladang Daerah Kluang

Justeru, bagi memastikan Agromakanan negara terus kompetitif, perhatian serius perlu diberikan pada usaha meningkatkan daya saing kumpulan sasar dengan melaksanakan reformasi pertanian melalui penggunaan teknologi moden serta sistem mekanikal bagi memperkasakan sektor pertanian dan industri asas tani.

“Tanah-tanah yang terbiar milik agensi kerajaan seharusnya diusahakan dengan membangunkan sektor pertanian seperti penanaman nenas dan belimbing menerusi Projek Revolusi Hijau.

Projek Pembangunan Tanah-tanah Terbiar Negeri Johor telah dibawa untuk mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor baru-baru ini,” ujarnya lagi.

Jualan anak ayam daging kepada pengunjung

Jualan anak ayam daging kepada pengunjung

Selain itu, penyertaan golongan muda dalam sektor pertanian amat digalakkan seiring dengan perkembangan sektor pertanian di negara ini untuk melihat lebih ramai petani moden yang berdaya saing dapat menguruskan ladang yang berskala besar dapat dilahirkan suatu hari nanti.

Program turut mendapat kerjasama Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani serta syarikat-syarikat swasta.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Mazlan Aliman dan Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Mahkota, Muhamad Said Jonit.

-EM

Tinggalkan komen anda