
Laporan/ Foto: Yaacob Hamud/ Merusin Minuddin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Kota Belud yang mewakili Zon Pantai Barat Utara (PBU) dinobatkan sebagai Johan dalam Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku Peringkat Negeri Sabah di Dewan Semarak, Wisma Dang Bandang, pada Rabu.
Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, Norzawiyah Bulka berkata, pada tahun ini Pertandingan Sketsa Rukun Negara Tahun 2019 buat julung kalinya dianjurkan hingga ke peringkat kebangsaan.
Tambahnya, pertandingan itu adalah sebagai wadah dalam membina rangkaian strategik bukan sahaja bersama pelajar bahkan juga dengan jabatan mahupun agensi kerajaan yang lain.
Justeru, beliau berharap pendekatan pertandingan seumpama itu sedikit sebanyak mengurangkan isu sosio ekonomi dalam kalangan anak muda yang semakin membimbangkan dalam mendepani era revolusi industri 4.0.
“Dengan tema “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” SMK Pekan Kota Belud akan mewakli Sabah ke peringkat kebangsaan pada 26 hingga 28 Julai ini di Perak Darul Ridzuan.
“Kita berharap wakil negeri Sabah nanti akan memberi saingan yang hebat dengan persembahan yang mantap agar mesej-mesej Rukun Negara dapat dihayati dan meninggalkan kesan kepada para penonton supaya dapat membentuk jiwa masyarakat khususnya kepada para pelajar agar dapat menanam sifat patriotik dan semangat perpaduan yang jitu,” katanya kepada media.
Pada pertandingan peringkat negeri itu, menyaksikan enam pasukan berentap mewakili zon masing-masing iaitu Zon Pedalaman Atas, Zon Sandakan, Zon Tawau, Zon Pedalaman Bawah, Zon Pantai Barat Selatan dan Zon Pantai Barat Utara.
SMK Pekan Kota Belud menewaskan peserta lain apabila menyampaikan persembahan yang mantap bertajuk “Jati Diri Warisan Kita” membawa pulang wang tunai RM2,000, piala iringan dan sijil penyertaan; Naib Johan, SMK Sook Keningau menerima RM1,500, piala iringan dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga, SMK Silabukan Lahad Datu menerima wang tunai RM1,000, piala iringan dan sijil penyertaan.
Juri pertandingan terdiri daripada Pengarah Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan, Supian Musa; Timbalan Dekan, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Mohd Puad Bebit dan Penolong Editor Dewan Bahasa dan Pustaka, Mohd Almiey Mohd Ali.
Turut hadir menyaksikan pertandingan berkenaan adalah Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Yunus Saprin dan Pengetua SMK Kolombong, Sharifah Nor Kaya Shah Latif.
-EM