Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

‘Muhibah’ Angkat SMK Durian Tunggal ke Peringkat Kebangsaan

By 26 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: M Zakry Chan/ Nur Fariza Farnoh (Melaka)

AYER KEROH, 26 Jun (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal muncul juara Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku 2019 Peringkat Negeri Melaka sekali gus melayakkan mereka mewakili Negeri Melaka ke Peringkat Kebangsaan yang bakal diadakan pada bulan Julai hadapan selain membawa pulang RM2,000, sijil penyertaan, plak iringan dan piala.

Menurut guru pembimbing, Chan Chin Ho, kemenangan ‘Muhibah’ semalam memaparkan perpaduan, keikhlasan dan kerjasama murid yang berbilang kaum dalam mengangkat tema Rukun Negara (Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih) sebagai amalan hidup rakyat Malaysia.

“Antara cabaran yang saya hadapi adalah mencari pelakon yang sesuai dengan perwatakan yang mewakili wajah-wajah Malaysiaku. Selain itu, setiap pelakon mestilah boleh menari dan menyanyi kerana konsep yang digunakan adalah pelbagai teknik penyampaian dalam sketsa muzikal ini manakala dari segi kru pula, saya menghadapi cabaran membimbing murid yang baru berjinak-jinak dalam seni teater.

“Saya amat berterima kasih kepada Pengetua Sekolah, Paridah Omar dan Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Junaidah Ishak kerana memberikan sokongan dan kerjasama kepada kami kerana sentiasa berada semasa sesi latihan pada waktu petang.

Dalam pada itu, Pengarah Penerangan negeri, Mohd Rizal Hashim berkata, pertandingan ini adalah pendekatan komunikasi berkonsepkan seni lakon dan penceritaan terbaik dan mudah untuk menyampaikan mesej selain membentuk minda masyarakat dan pelajar, sekali gus dapat meningkatkan pemahaman mengenai Rukun Negara.

Naib johan dimenangi oleh SMK Ayer Molek, mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500, sijil penyertaan, plak iringan dan piala. Tempat ketiga dimiliki SMK Tinggi Perempuan Melaka yang turut membawa pulang RM1,000, sijil penyertaan, plak iringan dan piala.

Bagi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dimenangi oleh Muhammad Hafiz Salleh (SMK Ayer Molek), Pelakon Perempuan Terbaik, Norsalsabila Shafizah Norshahrizal Afendi (SMK Durian Tunggal), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik,  Lee Jian Cuan (SMK Paya Rumput), Pelakon Pembantu Perempuan Terbaik, Trinetra Saravanan (SMK Durian Tunggal), Sinografi Terbaik (SMK Durian Tunggal), Pengarah Terbaik (SMK Durian Tunggal), Skrip Terbaik (SMK Durian Tunggal ), Anugerah Khas Juri (SMK Ade Putra) dan Poster Terbaik (SMK Datuk Haji Talib Karim).

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin. Hadir sama, Pengarah Penyiaran Melaka, Ibrahim Ismail dan Penolong Pengarah Kanan JKNN negeri, Norlela Abdul Karim.

 

-KN

Tinggalkan komen anda