Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Stesen Pemantauan Bahan Cemar Udara Bakal Diwujudkan

By 27 Jun 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Nabila Bohari/Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)

PASIR GUDANG, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Stesen pemantauan bahan-bahan cemar udara secara tetap akan diwujudkan di Pasir Gudang bagi menangani isu pencemaran udara di sekitar kawasan tersebut.

Menurut Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin, perkara ini telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet dan stesen pemantauan tetap tersebut merupakan langkah menangani isu dalam jangka masa panjang.

Pasir Gudang merupakan tempat industri yang padat dan 250 buah kilang kimia wujud di kawasan perindustrian Pasir Gudang menyebabkan kualiti udara di Pasir Gudang menunjukkan bacaan tidak normal.

Oleh itu, Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik mencadangkan agar mewujudkan System Prediction Of Chemical Dispersion (Sistem Ramalan Penyebaran Kimia) sebagai langkah rujukan piawaian setiap bahan cemar adalah dalam keadaan normal bagi persekitaran Pasir Gudang.

“Oleh sebab kualiti udara di sini kurang baik, langkah ini diambil sebagai langkah jangka masa panjang untuk memastikan insiden sama tidak berulang” ujar beliau.

Yeo menjawab pertanyaan berkenaan rancangan jangka panjang bagi mengatasi insiden pencemaran udara di Pasir Gudang

Yeo menjawab pertanyaan berkenaan rancangan jangka panjang bagi mengatasi insiden pencemaran udara di Pasir Gudang. 

Perkara ini telah dinyatakan oleh Yeo semasa sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Pasir Gudang merupakan kawasan pembangunan yang sangat padat dan kajian untuk mewujudkan zon penampan akan dilakukan sebagai langkah jangka masa panjang.

Beliau berkata, zon penampan ini diwujudkan memandangkan sekolah dan kilang berdekatan serta mendatangkan kesan bahaya kerana sekolah menempatkan golongan berisiko tinggi manakala kilang pula merupakan tempat berisiko tinggi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, sehingga tengahari semalam, tiada pesakit baharu dimasukkan ke dalam wad.

Jumlah menjadikan keseluruhan mangsa berada di wad adalah seramai enam orang sahaja dan hasil keputusan ujian makmal juga mendapati sampel yang diambil dari lapan pesakit untuk ujian Urine Cyanide, Blood Cyanide dan VOC adalah negatif.

“Unit Pengurusan Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih memantau tahap kualiti udara dalam radius pengesanan enam kilometer hingga 15 kilometer dari lokasi kejadian sebelum sebarang keputusan berhubung pembukaan semula sekolah dibuat” ujar beliau.

Pembukaan semula sekolah akan dimaklumkan nanti- Mohd Khuzzan Abu Bakar

Pembukaan semula sekolah akan dimaklumkan nanti – Mohd Khuzzan Abu Bakar

“Kualiti udara masih dipantau dan kita akan maklumkan secara spesifik apabila sekolah akan dibuka semula nanti.

“Buat masa ini, sekolah masih ditutup selaras dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan manakala Jumaat dan Sabtu tidak bersekolah.

“Kemungkinan Ahad akan dibuka semula, tetapi kita akan maklumkan nanti,” katanya lagi ketika ditanya mengenai pembukaan semula sekolah di sekitar Pasir Gudang.

Justeru, penduduk di sekitar Pasir Gudang dinasihatkan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga serta mendapatkan rawatan di klinik berkhampiran sekiranya terdapat simptom muntah dan sesak nafas.

Orang awam juga dinasihati untuk mendapatkan maklumat sahih berkenaan insiden ini dari Pusat Gerakan Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor di talian 07-3310860 atau Pusat Kawalan Operasi Bencana 07-2511024.

-EM

Tinggalkan komen anda