Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohorMA

Sanggar Muzaffar Legasi Tradisi Zapin Johor

By 27 Jun 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Nurulaini Mohd Kasran/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Malaysia mempunyai pelbagai keunikan dan keragaman seni budayanya yang tersendiri.

Jika diperhatikan dari sudut seni budaya, tarian merupakan salah satu aspek yang patut diangkat menjadi elemen tarikan kepada pelancong.

Di Negeri Johor, tarian zapin boleh dianggap sebagai lambang budaya dan identiti masyarakat di sini.

Secara simboliknya, tarian zapin Johor bukan sahaja tarikan sewaktu majlis keramaian, malah turut dipersembahkan dalam majlis-majlis rasmi kerajaan.

Warisan budaya ini harus dipelihara dengan cara menanam rasa cinta terhadap seni tari ini kepada anak-anak Johor seawal usia kecil lagi.

Muhammad Iftitah Mustafa menceritakan mengenai sejarah Kumpulan Sanggar Muzaffar

Muhammad Iftitah Mustafa menceritakan mengenai sejarah Kumpulan Sanggar Muzaffar

Oleh kerana itu, Sekolah Kebangsaan Muzaffar Shah (SKMS), Felda Air Tawar 3 dekat sini mengambil inisiatif melatih kanak-kanak sejak dari Pra Sekolah mempelajari seni tarian zapin ini.

Sebuah kumpulan zapin yang diberi nama Kumpulan Sanggar Muzaffar telah diilhamkan dan ditubuhkan oleh pihak pengurusan SKMS pada 1 April 2018 yang lalu.

Menurut Guru Penyelaras merangkap jurulatih tari kumpulan ini, Muhammad Iftitah Mustafa, 27, beliau terpanggil untuk mengangkat seni tarian zapin sebagai salah satu cabang seni untuk anak-anak muridnya yang berusia antara enam hingga 12 tahun, iaitu dari Pra Sekolah hingga Tahun Enam setelah melihat potensi yang ada pada mereka.

“Festival pertama yang kami sertai selepas tertubuhnya kumpulan ini adalah Festival Seni Balau yang diadakan di Tanjung Balau, Kota Tinggi pada 30 April tahun lalu.

“Lagi manisnya adalah, kumpulan ini terus diangkat menjadi johan walau pun baru sebulan sahaja ditubuhkan”, katanya.

Antara koleksi trofi kemenangan yang diraih Kumpulan Sanggar Muzaffar

Antara koleksi trofi kemenangan yang diraih Kumpulan Sanggar Muzaffar

“Bertitik tolak daripada itu, kumpulan ini terus dikembangkan daripada asalnya enam orang penari sahaja, kini bertambah seramai 30 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar SKMS sendiri.

“Kami juga telah menjadi juara di peringkat antarabangsa dalam Program Pengantarabangsaan Karnival Citra Seni Malaysia-Indonesia 2018 yang telah diadakan di Johor Bahru, pada Oktober tahun lalu dan kejayaan-kejayaan yang kami kecapi ini, pastinya terus menjadi pembakar semangat untuk terus menjadi yang terbaik di negeri ini,” ujarnya lagi.

Berbicara mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi sepanjang mengendalikan kumpulan ini, beliau berkata, pada peringkat awalnya, ibu bapa kurang memberi sokongan kepada anak-anak mereka, kerana mereka tidak nampak pencapaian kumpulan ini pada masa itu.

“Ditambah lagi dengan kekangan masa antara pelajaran dan juga seni tarian, namun kini mereka sudah boleh menerima setelah melihat sendiri hasilnya,” ujarnya.

Guru Kanan Pentadbiran SKMS, Julaila Selamat, 47, berkata pihak pengurusan sekolah menyokong usaha murni kumpulan ini dalam menaikkan nama sekolah di peringkat daerah, negeri mahu pun antarabangsa.

Julaila Selamat, GPK Pentadbiran SK Muzaffar Shah ketika ditemuramah Malaysia Aktif

Julaila Selamat, GPK Pentadbiran SK Muzaffar Shah ketika ditemuramah Malaysia Aktif

“Dari segi pelajaran, guru penyelaras kumpulan ini juga turut mengambil inisiatif sendiri dengan membuat kelas tambahan bagi pelajar-pelajar yang dinamakan Kelas Hikmah Sanggar Muzaffar.

“Saya yakin dengan usaha murni yang dilakukan oleh guru ini dapat memastikan murid-murid yang terlibat tidak akan tertinggal dalam pelajaran,” ujar beliau lagi.

Para pelajar yang dipilih menyertai kumpulan ini akan dinilai terlebih dahulu berdasarkan pencapaian mereka dalam pelajaran.

Hal ini bagi memastikan mereka dapat memberi komitmen terhadap pelajaran walau pun mereka sentiasa sibuk dengan latihan yang diadakan hampir setiap hari.

Antara tarian zapin yang sering dipersembahkan oleh kumpulan ini adalah Zapin Melayu Johor, Zapin Selat Panjang, Zapin Parit Mastar dan Zapin Mahpom.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan Kumpulan Sanggar Muzaffar untuk membuat persembahan di majlis-majlis formal atau pun keramaian, boleh menghubungi pihak sekolah atau berhubung terus dengan Guru Penyelaras kumpulan ini di talian 013-7117137.

-EM

Tinggalkan komen anda