Skip to main content
Berita TempatanGlobalHomeKuala Lumpur

Tanggapan Masyarakat Antarabangsa Terhadap Minyak Sawit Malaysia Tidak Adil – Dr M

By 18 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penilaian dan tanggapan masyarakat antarabangsa terhadap minyak sawit Malaysia sebagai tidak adil dan hujahan mendakwa kegiatan penanaman kelapa sawit di negara itu telah menjejaskan ekosistem semulajadi adalah tidak benar.

“Minyak sawit merupakan minyak sayuran boleh dimakan yang paling murah. Ia juga mudah untuk ditanam, dan sebaik sahaja ditanam, ia boleh memberikan hasil tuaian sehingga 25 tahun, tidak seperti minyak lain seperti kacang soya dan biji sesawi.

“Oleh sebab itu, minyak sawit mampu bersaing (dengan minyak lain) dan mungkin akan menang. Jadi mereka mencipta idea ini bahawa kami memotong kayu untuk menanam pokok kelapa sawit dan memusnahkan habitat haiwan,” kata perdana menteri pada sesi soal jawab di Universiti Cambridge selepas menyampaikan syarahan bertajuk ‘Demokrasi di Malaysia dan Asia Tenggara’.

Sesi itu disiarkan secara langsung di Facebook Astro Awani awal hari ini.

Dr Mahathir yang kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari di United Kingdom turut mengkritik sikap hipokrit Barat yang menggunakan aspek alam sekitar untuk kempen antiminyak sawit mereka.

“Anda bercakap tentang alam sekitar, penebangan hutan, tetapi lihat pada Britain misalnya, di mana Hutan Sherwood Adakah ia masih wujud Adakah Robin Hood masih beroperasi dari sana

“Kebanyakan hutan di Eropah telah dibersihkan, sehinggakan tiada lagi haiwan liar di Eropah. Tetapi di Malaysia, kami masih ada harimau. Jika anda mahu masuk ke dalam hutan, kami boleh hantar anda ke sana,” katanya secara berseloroh.

Dr Mahathir menegaskan Malaysia mahu bersaing dengan seluruh dunia secara adil.

“Kami perlu menjana wang daripada sumber yang kami ada. Kami perlu memanfaatkan sumber-sumber kami. Tanah kami yang subur sesuai untuk kelapa sawit, oleh itu kami mengeluarkan minyak sawit,” katanya.

Kerajaan Malaysia telah mengehadkan perluasan ladang kelapa sawit kepada 6.5 juta hektar, memberi tumpuan untuk memanfaatkan bahan penanaman yang boleh meningkatkan hasil tuaian dan meningkatkan produktiviti tanpa perlu meluaskannya ke kawasan hutan baharu atau tanah gambut. Malaysia juga mengekalkan liputan kawasan hutannya sekurang-kurangnya 50 peratus.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda