
Laporan/foto: Norliza Yusof/ Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 17 Jun (Malaysiaaktif) – Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sandakan sasar pecah rekod kehadiran alumni terbesar dalam Malaysia Book Of Record (MBR).
Pengerusi Jawatankuasa Reunion Bekas SMK Sandakan, Zarina Azis berkata rekod tersebut akan dibuat pada Majlis Malam Gala Karpet Merah Reunion SMK Sandakan 1966-2018 pada 23 November depan di Kompleks Sukan Sandakan.
“Rekod sebelum ini dipegang oleh Perhimpunan Terbesar Alumni Penang Free School pada tahun 2016 dengan kehadiran seramai 3,130 alumni sekolah berkenaan.
“Oleh itu, kehadiran seramai 3,200 alumni kami mampu memecahkan rekod sedia ada dan merealisasikan impian itu.
“Idea ini tercetus bagi mengharumkan nama sekolah dan membuktikan bahawa alumni SMK Sandakan juga mampu untuk melakukan sepertimana yang telah dilakukan oleh Alumni Penang Free School,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, hari ini.
Menurutnya, tujuan kunjungan diadakan adalah untuk menjemput Tun Juhar hadir memeriahkan lagi majlis itu nanti.
“Kami sangat berbesar hati sekiranya Tun Juhar sudi hadir pada majlis berkenaan dan majlis semestinya akan lebih meriah dengan kehadiran Tun.
“Selain itu, kami berharap semua bekas pelajar dan guru dapat sama-sama menyertai dan berkumpul pada tarikh berkenaan sekaligus menjadikan ia satu majlis berprestij yang tidak dapat dilupakan,” ujarnya.
-EM