Skip to main content
Berita UtaraPulau Pinang

Bertam Bakal Menjadi Bandar Pintar Tenaga Pertama di Pulau Pinang

By 20 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan /Foto: Nurazreen Bt Abd Rahman (Seberang Perai Utara)

BERTAM, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Perkembangan Industri Revolusi 4.0 (IR 4.0) bakal direalisasikan dengan menggabungkan ciri-ciri dan teknologi hijau yang menjimatkan tenaga dan sumber selaras dengan usaha kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mengubah Pulau Pinang menjadi negeri berteknologi Hijau dan Negeri Pintar, sejajar dengan Visi Penang 2030.

Pelancaran Bertam Smart Energy City telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, YB Dato’ Ir. Hj Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas kelmarin. Menurut beliau, “ Projek ini  adalah hasil usaha sama antara  dua institusi pendidikan dan beliau berbangga dan berterima kasih atas usaha Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) dan UKM Pakarunding Sdn Bhd yang akan bergabung dengan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas untuk mengorak langkah membangunkan bandar pintar tenaga ini. Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah UKM Pakarunding, Prof. Emeritus Dr. Abdul Razak Hamdan; Pengarah SERI UKM, Prof. Datuk Dr. Kamaruzzaman Sopian; wakil Pengarah ILP Kepala Batas, Ts. Sofiuddin Mohd. Isa; Felo Penyelidik Kanan SERI UKM, Ar. Dr. Lim Chin Haw serta barisan tetamu kehormat yang lain.

Majlis perasmian oleh TKM 1 P.Pinang YB Dato Ir. Hj Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Majlis perasmian oleh TKM 1 P.Pinang YB Dato Ir. Hj Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Menurutnya, konsep bandar pintar tenaga ini sejajar dengan perkembangan era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang merupakan pendekatan baru menggabungkan teknologi konvensional dengan Internet of Things (IoT) untuk meningkatkan proses automasi, komunikasi, dan penggunaan data secara dalam talian dan ‘real time’. “Smart Energy City adalah salah satu konsep Smart City yang berasaskan IR4.0 yang pada mulanya hanyalah idea konseptual tetapi pada hari ini ia telah menjadi realiti kerana IoT mula diaplikasikan dalam infrastruktur bandar,” katanya.

Ulas beliau lagi,selain bertujuan untuk menjimatkan penggunaan tenaga, projek ini turut menggalakkan para pemaju dan pemilik bangunan untuk menggabungkan ciri-ciri teknologi hijau dengan strategi kecekapan dan pemuliharaan tenaga. Sebagai contoh yang telah dilaksanakan di Masjid Negeri Pulau Pinang dimana jumlah penggunaan tenaga bulanan dan kos bil elektrik bulanan masjid berkenaan berjaya dikurangkan sebanyak 18.2%.

Sementara itu, menurut Felo Penyelidik Kanan SERI UKM, Ar. Dr. Lim Chin Haw  memberitahu bahawa Kepala Batas merupakan projek perintis pertama di negeri ini dan tempoh kajian mengenainya akan mengambil masa kira-kira dua tahun. Tambah beliau, “Transformasi ini melibatkan pendekatan holistik dengan mengintegrasikan pemuliharaan tenaga, kecekapan tenaga di samping sumber tenaga boleh diperbaharui iaitu tenaga solar.”

Projek perintis berkenaan juga telah dibangunkan di lima lokasi terpilih iaitu di ILP Kepala Batas, Masjid Abdullah Fahim, Hospital Kepala Batas serta pasar raya besar Tesco dan Mydin.

-II-

Tinggalkan komen anda