Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Denggi di Selangor Membimbangkan

By 8 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 8 Jul (Malaysiaaktif) – Situasi demam denggi di Selangor mutakhir ini sangat membimbangkan walaupun pelbagai program kawalan dilaksanakan sebelum ini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sehingga minggu epid 26 tahun ini (29 Jun), sebanyak 35,544 kes dicatatkan dengan kadar kematian 30 kes berbanding tempoh yang sama tahun 2018 (18,249 kes).

“Disebabkan kes demam denggi itu tidak melibatkan ahli keluarga mereka, maka ramai yang tidak mengambil serius perkara tersebut. Mereka menganggap kes kematian disebabkan denggi itu sama dengan kematian yang lain.

“Saya memohon agar rakyat, aktivis masyarakat, Ahli-ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) membantu menangani masalah kes demam denggi di kawasan mereka,” katanya.

Menurut Dr Mariah, Kerajaan Negeri telah melancarkan program ‘Selangor Bebas Aedes Premis Tempat Kerja dan Kuaters Kerajaan’ pada 15 Februari tahun ini.

Amirudin dan Dr Siti Mariah membuat semburan nyamuk semasa gimik perasmian 3W yang bertemakan Sifar Aedes dan Hari Bapa.

Amirudin dan Dr Siti Mariah membuat semburan nyamuk semasa gimik perasmian 3W yang bertemakan Sifar Aedes dan Hari Bapa.

“Satu lagi program pencegahan demam denggi, kita kena buang sikap yang hanya memikirkan tentang kawalan sahaja. Cegah daripada mula.

“Ia sejajar dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang menyatakan majikan bertanggung jawab atas keselamatan dan kesihatan pekerjanya.

“Program ini melibatkan semua jabatan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri, tambahan pula orang ramai berkunjung untuk mendapatkan perkhidmatan agensi-agensi kerajaan, katanya semasa berucap di Program 3W ‘Wellness, Welfare, Woman’ di Batu Caves hari ini.

Program 3W merupakan program keenam anjuran Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor yang bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang dirasmikan Menteri Besar, Amirudin Shari.

Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri telah banyak melaksanakan banyak kempen-kempen, gotong-royong namun wabak denggi masih berleluasa di Selangor.

“Kes-kes denggi masih menunjukkan peningkatan walaupun kita telah membuat kawalan sebaik mungkin dan memperkenalkan beberapa inisiatif.

“Kesedaran itu masih rendah, sudah sampai masanya selain memberi ganjaran kita juga akan memberikan ‘tekanan’ dalam bentuk kompaun kepada mereka yang tidak mengawal pembiakan nyamuk aedes,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai tua.

-NAZ

Tinggalkan komen anda