Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Sistem Pengurusan Bencana Selangor Jadi Rujukan

By 8 Julai 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 8 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan Selangor bukan sahaja terbaik daripada segi pentadbirannya, malah sistem pengurusan bencana di negeri ini turut menjadi rujukan kerajaan persekutuan dan negeri-negeri lain.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata ketika mesyuarat dan taklimat Menteri-menteri Besar bersama Perdana Menteri baru-baru ini, kerajaan Selangor dimaklumkan mempunyai sistem terbaik di negara ini.

“Dalam sesi taklimat yang dibentangkan berkaitan pengurusan bencana, dimaklumkan di Selangor mempunyai sistem pengurusan terbaik di Malaysia.

“Sistem itu akan diadaptasi di peringkat persekutuan dan juga negeri-negeri lain seluruh negara,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri DUN Taman Templer di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan dan ADUN Kuang, Sallehuddin Amiruddin.

Mengulas lanjut, beliau yang juga ADUN Sungai Tua memaklumkan, pengiktirafan tersebut menunjukkan Selangor terbaik dalam pengurusan ekonomi, pelaksanaan program-program dan pengurusan bencana.

“Maknanya kita bukan sahaja baik daripada segi pengurusan dan pentadbiran ekonomi, malah dalam masa yang sama sistem pentadbiran Selangor mula dijadikan cerminan bagaimana pelaksanaan dan pembentukan sebuah kerajaan yang baharu.

“Ini bukan kerja saya seorang atau pimpinan negeri tetapi kerana rakyat yang bersedia bekerja bersama-sama membantu, menyokong sistem pentadbiran kita sehingga Selangor sering dijadikan model pentadbiran dan pengurusan,” katanya di hadapan lebih 2,000 orang warga Selayang.

-NAZ

Tinggalkan komen anda