Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

‘Family Fun Day’ Lahir Masyarakat Berorientasi Keluarga, Hijau dan Pintar

By 9 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Halimah Abdul Ghani (Seberang Perai Tengah)

BUKIT MERTAJAM, 9 Julai (Malaysiaaktif) – Keluarga yang harmoni akan melahirkan individu berkualiti dalam memangkin masyarakat yang seimbang dari pelbagai sudut. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan negeri hari ini mengambil inisiatif menganjurkan program ‘Family Fun Day’ @ Seberang Perai bertempat di Kompleks Sukan Malis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jalan Betek, Bukit Mertajam. Program ini turut dilaksanakan bersempena dengan sambutan  Hari Keluarga Sedunia.

Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung. Ini kerana pelbagai aktiviti menarik diadakan yang melibatkan ahli keluarga. Antara pengisiannya ialah permainan tradisional seperti congkak, tarik tali, batu seremban, baling selipar, guli, lompat getah, permainan kad, dam dan sebagainya. Setiap individu yang ingin menyertai aktiviti ini perlu melakukan sepuluh acara bagi melayakkan diri menyertai cabutan bertuah yang mana hadiah utamanya merupakan sebuah motosikal. Aktiviti-aktiviti ini boleh dibuat bersama ahli keluarga ataupun berseorangan.

Seah Zhang Yu yang membuat catatan Malaysia Book Of Records dalam acara lompt katak sejauh 400 meter dengan catatan masa 6 minit 53 saat

Seah Zhang Yu yang membuat catatan Malaysia Book Of Records dalam acara lompt katak sejauh 400 meter dengan catatan masa 6 minit 53 saat

Selain itu, turut diadakan juga bengkel membuat permainan tradisional iaitu mini wau, layang-layang dan tali lompat getah. Kelihatan pengunjung cilik amat teruja dengan aktiviti sebegini. Menurut adik Sophia Lau 8 tahun, beliau berasa amat teruja untuk cuba membuat mini wau dan ini merupakan pengalaman pertama beliau untuk membuatnya sendiri. Sementara itu, ibu bapanya pula berpendapat program ini amat bagus kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga dengan aktiviti berfaedah memandangkan hari ini cuti umum bagi Pulau Pinang sempena Hari Warisan dan Goergetown di iktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia.

Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow berucap ketika perasmian penutup Program Family Fun Day @ Seberang Perai kelmarin

Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow berucap ketika perasmian penutup Program Family Fun Day @ Seberang Perai kelmarin

Bersempena dengan Program Family Fun Day @ Seberang Perai ini juga, empat catatan Malaysia Book Of Records telah dibuat iaitu dua daripadanya dilakukan oleh Omprekash A/L Gunabalan menerusi acara angkat berat dengan menggunakan dua jari dengan catatan 91 kg dalam masa 5 minit serta menarik kenderaan pacuan empat roda menggunakan jari kelingking sejauh 86.5 meter dengan kiraan masa 6 minit, Seah Zhang Yu pula telah berjaya membuat rekod lompat katak sejauh 400 meter dalam masa 6 minit 53 saat manakala Boo Chai Yee pula berjaya membuat ‘jump burpees’ sebanyak 33 kali dalam 1 minit.

Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yoew telah hadir membuat perasmian penutup. Di dalam ucapannya, Ketua Menteri mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur dan juga penaja serta menyifatkan pengunjuran program ini selaras dengan visi Penang 2030; negeri berorientasi keluarga, hijau dan pintar. Beliau menyatakan bahawa keluarga adalah asas penting dalam pembentukan masyarakat seterusnya negeri dan negara. Individu yang mendapat sokongan emosi dan psikologi dari keluarga cenderung menjadi unggul dalam kehidupan. Beliau juga turut menekankan bahawa kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan keseimbangan antara kerjaya dan keluarga dalam setiap individu. Antara tetamu lain yang hadir ialah isteri Ketua Menteri, Puan Tan Lian Kee, YB Chong Eng, EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam merangkap ADUN Padang Lalang, YB Goh Choon Aik, ADUN Bukit Tambun.

Terdahulu, hadir merasmikan majlis ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Stevent Sim Chee Keong, merangkap ahli parlimen Bukit Mertajam

Tinggalkan komen anda