
Laporan/foto: Aneta/ Mohd Hairie Izwan Awang (Hulu Terengganu)
HULU TERENGGANU, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Penganjuran Festival Kenyir 2019 Kembali Gegarkan Pengkalan Gawi yang bermula pada 25 Julai dan akan berakhir pada 28 Julai 2019 bertempat di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Terengganu.
Penganjuran ini merupakan kerjasama antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dengan Kerajaan Negeri Terengganu dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang diadakan pada setiap tahun dalam usaha mempopularkan lagi Tasik Kenyir sebagai sebuah destinasi yang ulung di negara ini.
Pengerusi KETENGAH, Datuk Zulkifli Mohamad berkata Festival Kenyir telah bermula pada tahun 1994 dengan nama Kenyir Ecofest dan telah mengalami pelbagai transformasi mengikut kesesuaian masa. Festival Kenyir 2019 ini adalah kali kesembilan penganjurannya dan akan terus menjadi acara tahunan. Festival ini juga adalah satu acara untuk mendedahkan dengan seluas-luasnya tentang keindahan dan keistimewaan serta Khazanah alam semulajadi yang tersimpan di tasik ini.
Terdapat tiga keunikan yang dibawa dalam penganjuran pada kali ini iaitu Dapur Kenyir, Kenyir Street dan acara sukan air. Dapur Kenyir dijenamakan semula dari konsep food tourism yang memperkenalkan makanan – makanan eksotik yang terdapat di Tasik Kenyir dan Daerah Hulu Terengganu terutama masakan yang berasaskan ikan air tawar seperti ikan kelah, baung, lampam dan tilapia serta makanan tradisional tempatan. Kenyir Street menampilkan seni kebudayaan dan kraftangan penduduk tempatan yang dipamerkan di bawah satu bumbung dan acara sukan air yang sinonim dengan persekitaran Tasik Kenyir di mana ia diadakan pada setiap hari sepanjang festival ini dilaksanakan.
Menurut Nor Aizat Shah Rizal Abdul Razak, 30, “Penganjuran Festival Kenyir tahun ini memberi kesan positif kepada industri pelancongan Negeri Terengganu kerana ia boleh menarik minat pelancong-pelancong untuk datang ke Tasik Kenyir khasnya kaki pancing juga yang suka membeli belah.”
Bagi Tuan NorNajihah Tuan Hassan, 24, beliau teruja kerana pada tahun ini kerana dapat mengambil bahagian dalam program ini dan berkesempatan berniaga di Dapur Kenyir.
Majlis Perasmian Festival Kenyir 2019 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa K. Rasiah dan beliau berkata “Menjadi tanggungjawab bersama untuk mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi utama pelancongan bukan sahaja di kalangan pelancong tempatan malah kepada pelancong antarabangsa.”
Promosi ini bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 yang akan datang dan promosi KETENGAH bagi pasaran baru terutamanya ke negara Timur Tengah yang amat tertarik dengan eleman air juga kepada penekanan konsep pelancongan berteraskan Islam yang mampu menarik pelancong Muslim dari seluruh dunia.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) turut memberi perhatian sewajarnya kepada pembangunan pelancongan dan pada tahun ini sebanyak RM48 juta telah diperuntukkan kepada KETENGAH bagi melaksanakan projek penyediaan Infrastruktur Komersil dan program ameniti sosial dalam meningkatkan kemudahan dan pembangunan di Tasik Kenyir katanya.
-II-