Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Perpaduan Merupakan Faktor Penting Ke Arah Negeri Berprestasi Tinggi

By 27 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Norsaedah Haron/Abassalimi Mohamad (Kluang)

KLUANG, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Karnival Perpaduan yang bertemakan “Perpaduan Hati” bersempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Johor 2019 diraikan penuh meriah dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum dan pelbagai lapisan umur.

Ketibaan Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan isteri di Dewan Muafakat Simpang Renggam hari ini, disambut dengan paluan gendang Cina serta tarian singa, gendang India dan kompang yang mewakili tiga kaum utama di Malaysia.

Datuk Dr. Shahruddin mencuba permainan tradisional iaitu baling selipar.

Datuk Dr. Shahruddin turut mencuba permainan tradisional iaitu baling selipar di Karnival Perpaduan.

Pada majlis ini, semua tetamu termasuk tetamu kehormat diminta untuk duduk bersila atau bersimpuh dengan beralaskan tikar dan dihidang dengan juadah yang disediakan secara rewang di atas dulang atau talam dalam jamuan rakyat bagi menggambarkan keunikan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sejak semalam, antaranya rewang rakyat, pameran dan jualan, pertandingan melibatkan kanak-kanak Tabika Perpaduan dari seluruh negeri Johor, pertandingan permainan tradisional seperti congkak dan baling selipar, pertandingan beyblade, pertandingan kolam dan permainan dam ular gergasi.

Salah satu acara permainan tradisional iaitu congkak yang turut disertai oleh kanak-kanak Tabika Perpaduan.

Pertandingan permainan tradisional congkak yang turut disertai oleh kanak-kanak Tabika Perpaduan.

Para pengunjung juga turut menyertai aktiviti ilmiah yang disediakan sepeti Forum Bicara Bangsa Johor bersama ahli panel yang didatangkan khas dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menteri Besar Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, di negeri Johor kita tidak perlu memandang perbezaan yang wujud itu sebagai penghalang dalam membina dan mengukuhkan perhubungan antara kaum demi perpaduan dan pembangunan negeri Johor.

Pengunjung berbangsa India ini tertarik dengan keunikan peralatan tarian tradisional Melayu iaitu Kuda Kepang dan Barongan.

Pengunjung berbangsa India ini tertarik dengan keunikan peralatan tarian tradisional Melayu iaitu Kuda Kepang dan Barongan.

“Malah perbezaan itu sebenarnya adalah satu kelebihan dan kekayaan masyarakat yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan bersama.”

“Kemajuan negeri Johor bukan sahaja diukur dengan kepesatan pembangunan ekonominya tetapi juga dari aspek perpaduan antara rakyat berbilang kaum yang merupakan faktor penting dalam membawa negeri Johor ke arah status “Negeri Berprestasi Tinggi, Bangsa Johor Bestari,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival Perpaduan di sini.

Para pengunjung ini tidak kekok makan di atas dulang bersama-sama di jamuan rakyat, Karnival Perpaduan.

Para pengunjung ini tidak kekok makan di atas dulang bersama-sama di jamuan rakyat, Karnival Perpaduan.

Tambahnya lagi, pemupukan nilai-nilai murni yang merangkumi konteks sukan, pendidikan, kebudayaan perlu dilakukan dengan kesederhanaan serta menjauhi kegiatan ekstremisme atau melampaui batas kemanusiaan dan agama yang mampu memecah belahkan perpaduan kaum di negeri ini.

Terdahulu, Menteri Besar Johor menyampaikan mock cheque peruntukan Kerajaan Negeri Johor bagi program harapan, geran pengoperasian kawasan rukun tetangga (KRT) dan geran pengoperasian skim rondaan sukarela (SRS) kepada tiga orang pemegang amanah dan juga sumbangan barangan keperluan kepada sepuluh orang penerima dari KRT Simpang Renggam yang terdiri daripada orang kurang upaya dan warga emas.

Menteri Besar Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal (lima dari kiri) menyampaikan cek Geran Pengoperasian Skim Rondaan Sukarela kepada para penerima.

Menteri Besar Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal (lima dari kiri) menyampaikan cek Geran Pengoperasian Skim Rondaan Sukarela kepada para penerima.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Dr. S. Ramakrishnan, Pegawai Daerah Kluang Ismail Abu serta Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Baharin Idris.

-NI-

Tinggalkan komen anda