
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)
IPOH, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Kepentingan penembusan jalur lebar merupakan salah satu penentu kelangsungan ekonomi negara.
Laporan Forum Ekonomi Dunia mendapati peningkatan sebanyak 10% penembusan jalur lebar di sesebuah negara membangun menyumbang sebanyak 1.38% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) atau sebanyak RM18 billion dalam konteks Malaysia.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Gobind Singh Deo, kerajaan komited dalam mengiktiraf kesalinghubungan sebagai utiliti.
“Sama seperti bekalan air dan elektrik, ini adalah penting bagi memacu pembangunan dalam sektor ekonomi, pendidikan, kesihatan, pengangkutan, pembangunan bandar pintar dan sebagainya.
“Dalam kerajaan memperjuangkan kesalinghubungan dan akses perkhidmatan jalur lebar untuk rakyat, kita mesti memastikan bahawa semua golongan masyarakat tidak dipinggirkan, terutamanya mereka yang kurang bernasib baik dan mereka yang berkelainan upaya (OKU).
“Baru-baru ini, kerajaan dengan kerjasama syarikat-syarikat telko telah mengumumkan tawaran pakej perkhidmatan tetap dan mudah alih yang lebih murah bagi golongan OKU,” katanya sempena program Kembara Digital Malaysia, di sini hari ini.
Menurut Gobind lagi, dalam penyediaan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar kepada penduduk di Malaysia, ianya tidak hanya tertumpu kepada penduduk di kawasan bandar sahaja tetapi turut merangkumi penduduk di kawasan pinggir bandar.
“Ini membolehkan lebih ramai para usahawan memasarkan produk dan perkhidmatan melalui inisiatif e-Dagang (e-commerce).
“Di negeri Perak misalannya, sehingga bulan Mei 2019, sebanyak 174,000 sambungan port jalur lebar telah dipasang di seluruh negeri ini yang meliputi kawasan bandar dan pinggir bandar,” katanya lagi.
Kembara Digital Malaysia bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai perkhidmatan akses jalur lebar berkelajuan tinggi, mempromosikan manfaat yang boleh diperolehi menerusi
penggunaan digital serta memberi kesedaran mengenai keselamatan penggunaan media sosial.
-SH