Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kajian Penyediaan Pelan Pembangunan Kadamaian Cakupi 50 Peratus

By 27 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA BELUD, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Kajian lapangan untuk penyediaan Pelan Pembangunan Kadamaian setakat ini sudah mencakupi 50 peratus buah kampung daripada 74 buah kampung yang ada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kajian itu yang dilaksanakan Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dengan kerjasama Pejabat Perhubungan ADUN Kadamaian dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2019.

Beliau berkata, pasukan penyelidik telah memulakan kajian itu dengan mendapatkan gambaran hala tuju perancangannya di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, seterusnya mereka mengadakan perjumpaan dengan Pegawai Daerah dan ketua-ketua jabatan dan agensi di Kota Belud. 

“Mereka telah memulakan kajian lapangan pada Selesa lepas dan untuk fasa pertama mereka sudahpun melawat hampir 40 daripada 74 buah kampung di DUN Kadamaian untuk tujuan kajian dan kajian itu akan diteruskan sehingga siap,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan pasukan penyelidik yang diketuai oleh Anita Limjoon di Pejabat Perhubungan ADUN Kadamaian di Kg Piasau, pada Jumaat.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, Pelan Pembangunan Kadamaian, 2020-2035 merupakan input utama rakyat Kadamaian kepada penyediaan Belanjawan Tahunan Negeri dan Persekutuan serta Rancangan Malaysia Ke-12 dan seterusnya. 

“Ini merupakan pendekatan tersusun dan komprehensif yang kita akan kemukakan kepada Kerajaan. 

“Saya akan memainkan peranan aktif memperjuangkan pelaksanaan rancangan-rancangan yang terkandung dalam pelan ini nanti,” katanya.

Menurut Ewon, beliau ingin melihat pembangunan ekonomi Kadamaian berasaskan kepada dua sektor utama iaitu pelancongan dan pertanian yang disokong dengan rangkaian kemudahan infrastruktur asas yang baik seperti jalan luar bandar, jalan perhubungan desa, jalan pelancongan luar bandar, bekalan air, elektrik dan ameniti sosial.

Beliau berkata, selain keperluan pembangunan di setiap kampung, beberapa rancangan pembangunan lain seperti pembinaan bangunan Mahkamah Anak Negeri, Kompleks Keusahawanan Desa, Mini Estet Sejahtera (Mesej) Burung Walit, Pusat Kebudayaan dan Pelancongan Kadamaian serta beberapa lagi pembangunan lain turut dimasukkan dalam pelan tersebut.

“Saya sedar dan tahu, pembangunan fizikal tidak akan tercapai sekelip mata, tetapi yang penting bagaimana kita menyusun pelan perancangan dan seterusnya mengurus strategi pembangunan berasaskan kepada keutamaan di kawasan ini. 

“Saya berterima kasih kerana warga Kadamaian, terutamanya golongan profesional menerima baik pendekatan yang sedang dibuat ini,” katanya.

ER

Tinggalkan komen anda