Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Berzanji Medium Terbaik Memartabatkan Syiar Islam

By 26 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Abassalimi Mohamad (Kluang)

KLUANG, 21 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 22 orang peserta telah menyertai Pertandingan Perujian Membaca Berzanji Peringkat Negeri Johor Kali ke-21 bagi tahun 1440 Hijriah yang telah diadakan di Dewan Batalion 5 PGA Simpang Renggam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor, Tosrin Jarvanti berkata seramai 53 orang guru berzanji telah dilantik dan ditempatkan di mukim-mukim dan daerah-daerah bagi melatih masyarakat yang berminat untuk mendalami ilmu berzanji ini.

“Kerajaan negeri akan memperkenalkan satu subjek pembelajaran yang baru iaitu mata pelajaran Kesultanan Islam Johor dan tujuan mata pelajaran ini diperkenalkan adalah untuk memastikan rakyat Johor tidak dikelirukan tentang sejarah Johor dan sejarah Kesultanan Islam Johor.”

“Mata pelajaran ini akan mula diperkenalkan di sekolah-sekolah Agama Kerajaan Johor bermula tahun hadapan untuk darjah 1 hingga 3, tahun 2021 darjah 4 hingga 6 dan tahun 2022 untuk darjah khas,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Perujian Membaca Berzanji Peringkat Negeri Johor Kali ke-21 di sini.

“Walaupun berzanji ini tidak lagi dipertandingkan diperingkat kebangsaan, sejarah telah membuktikan bahawa bacaan berzanji ini merupakan Nur Islam di negeri Johor.”

Peserta terbaik lelaki, Mohd Fahmi Ismail dari daerah Kluang sedang memperdengarkan bacaan berzanji.

Peserta terbaik lelaki, Mohd Fahmi Ismail dari daerah Kluang sedang memperdengarkan bacaan berzanji.

“Kisah hidup dan akhlak Nabi Muhammad SAW patut kita contohi meskipun zaman kini telah berubah dan berbeza dengan zaman Baginda, namun sunnah dan akhlak Baginda tetap relevan sehingga ke hari ini dalam segenap kehidupan termasuk institusi keluarga, di tempat kerja dan sebagainya,” katanya lagi.

Tambah beliau salah satu intipati di dalam berzanji ini adalah tulisan jawi, justeru itu bagi memastikan tulisan jawi ini tidak tenggelam dalam kemodenan zaman satu program yang dikenali sebagai Jawi Johor telah dirangka oleh kerajaan negeri dan Majlis Islam Negeri Johor bertujuan untuk meningkat dan memartabatkan tulisan jawi setaraf dengan tulisan dalam Al-Quran dan berzanji.

Program ini akan diperkenalkan bermula 1 Januari 2020 dan semua jabatan serta agensi kerajaan dibawah Majlis Agama Islam Negeri Johor, Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan pusat-pusat pendidikan agama akan menggunakan tulisan jawi sepenuhnya dalam urusan seharian.

Pada Pertandingan Perujian Membaca Berzanji Peringkat Negeri Johor Kali ke-21, Nurul Nadiah Hashim dari daerah Kluang telah diumum sebagai johan kategori wanita manakala naib johan disandang oleh Nur Haffni Salleh dan tempat ketiga dimenangi oleh Nursalina Mohd Salleh dari daerah Kota Tinggi.

Manakala bagi kategori lelaki pula johan disandang oleh Mohd Fahmi Ismail dari daerah Kluang, naib johan dimenangi oleh Naidatul Zamrizam Arsad Johan dan Amir Anuar Abd Aziz dari daerah Kluang diumum sebagai pemenang tempat ketiga.

Johan keseluruhan pula dimenangi oleh daerah Batu Pahat.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor Datuk Md. Rofiki Datuk A. Shamsuddin, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Dr. Noh Gadot, dan Pegawai Daerah Kluang Ismail Abu.

-NI-

Tinggalkan komen anda