
Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 15 Jul (Malaysiaaktif) – Kawalan pintu masuk ke Sabah diperketat bagi membendung wabak African Swine Fever (ASF).
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin, berkata Sabah mempunyai beberapa pintu masuk utama seperti melalui penerbangan, pelabuhan dan sempadan.
“Setakat 4 Julai 2019, enam buah negara dilaporkan positif wabak ASF iaitu di China, Mongolia, Vietnam, Cambodia Korea Selatan dan Laos, dan sebagai langkah pencegahan, sebarang keluar dan masuk haiwan dan hasilan haiwan di pintu-pintu masuk dikuatkuasa.
“Kawalan ini dijalankan dengan kerjasama agensi dan jabatan penguatkuasa lain seperti Sabah Agricultural Quarantine (SAQ) dan Kastam DiRaja Malaysia. Melalui pemerhatian, syabas dan tahniah diucapkan kerana Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS) melaksanakan aktiviti pencegahan dengan baik,” katanya ketika ditemui media selepas lawatannya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), semalam.

Sim (tiga dari kiri) dan Mary (empat dari kiri) menyaksikan proses penguatkuasaan bagi penerbangan dari Guangzhou.
Dalam sesi lawatan tersebut, Tze Tzin turut meninjau kawasan ketibaan bagi melihat proses pemantauan ASF bagi penerbangan dari Guangzhou, China.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan DVS Dr Mary Josephine S.Golingai, memaklumkan sebanyak 2.5 tan daging dan produk daging dirampas sejak penguatkuasaan dilakukan.
“Di KKIA sahaja, sebanyak 1,159.26 kg produk babi daripada 294 kes telah dirampas di mana 152 kes dari China, 47 kes dari Filipina, 32 kes dari Singapura dan 29 lagi dari Korea.
“Produk yang dirampas adalah dalam bentuk daging babi, hirisan daging, sosej dan kulit babi (keropok). Meski wabak ASF tidak memudaratkan kita, ia akan mempengaruhi ekonomi sekiranya jangkitan terhadap insdustri babi di sini berlaku,” kongsinya.
ASF merupakan penyakit virus dalam babi yang disebarkan melalui laluan oronasal akibat bersentuhan dengan bahan kumuh atau memakan produk daripada babi yang dijangkiti.
Untuk rekod, sejak China mengumumkan kes pertama ASF sebanyak 1,160,000 ekor babi dimusnahkan melalui proses pembakaran sebagai kaedah membunuh virus.
Sekiranya wabak penyakit ini berlaku di Malaysia, dijangkakan kerugian lebih kurang RM220 juta kepada industri babi di Sabah.
-SH