Skip to main content
Berita TempatanSabah

SAS, Sistem Penternakan Ikan Dalam Bangunan Pertama di Dunia

By 15 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

PUTATAN, 15 Jul (Malaysiaaktif) – Sistem Perladangan Akuakultur Pintar (SAS) merupakan sistem penternakan ikan dalam bangunan yang pertama di dunia menggunakan nano teknologi terkini dan canggih.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan Datuk Seri Arsit Sedi, berkata sistem hasil gabungan teknologi dari China, Jepun dan Australia ini merupakan sistem penternakan ikan yang mengamalkan teknologi bebas pencemaran alam sekitar, tanpa penggunaan bahan kimia, kos yang efektif serta kadar tumbesaran yang cepat dan kadar kematian yang rendah.

“Sistem ini hasil pelaburan syarikat Pemodalan Capital Berhad melalui anak syarikatnya PCB Biotech Sdn Bhd dengan pelaburan sebanyak RM5 juta, di mana sistem ini mengamalkan konsep perladangan pintar di mana penggunaan kawasan penternakan yang kecil mampu mencapai hasil ikan yang berkualiti tinggi.

“Sistem ini bukan sahaja boleh mendapatkan hasil ikan yang berkualiti tinggi, malah turut mendapat perjanjian membeli semula hasil ikan daripada pengimport ikan dari China,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Projek Ternakan Ikan Laut dan Udang Kara Syarikat Permodalan Capital Berhad (PCB) Biotech dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan, di sini semalam.

Ikan kerapu yang mencapai kematangan dalam tempoh lapan bulan.

Ikan kerapu yang mencapai kematangan dalam tempoh lapan bulan.

Beliau yang juga Pengerusi PCB Biotech Sdn Bhd berkata, permintaan dan keperluan ikan laut di China amat tinggi dan dengan memperbanyakkan lagi sistem penternakan SAS di Sabah, ia akan menambahkan lagi hasil ikan laut yang berkualiti serta memenuhi permintaan pengimport ikan laut.

“Untuk sistem penternakan SAS kita bermula dengan menternak ikan kerapu jenis ‘Loong Fu’ yang dijangka dapat mencapai kematangan 800 gram ke atas dalam masa 8 bulan dari benih ikan bersaiz 3 inci.

“Sistem ini mempunyai lapan tangki yang mampu memuatkan 16 ribu ekor ikan kesemuanya dan dengan teknologi nano dan Photosynthetic Micro Organisme, ikan jenis ini dapat mencapai kematangan dan tumbesaran sehingga satu kilogram seekor dalam masa lapan hingga sembilan bulan,” katanya lagi.

SAS juga dapat menjana oksigen, keseimbangan, kebersihan dan kualiti serta mengionkan air laut dan menjadikan keadaan kolam seperti air laut semula jadi yang bersih, bebas daripada ancaman penyakit serta virus yang boleh mengancam tumbesaran ikan.

Kolam udang kara yang dibina berasingan dengan Ikan kerapu.

Kolam udang kara yang dibina berasingan dengan Ikan kerapu.

“Kami berharap sistem ini dapat diperkembangkan ke seluruh negara bermula dari Sabah dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selain dapat menjana pendapatan yang tinggi serta berkekalan dengan hasil ikan yang berkualiti tinggi dan mengikut jadual penternakan,” tambahnya.

Pada masa sama, ahli PPK juga mendapat manfaat dengan menerima RM1 daripada setiap kilogram ikan yang dijual apabila mengeluarkan hasil kelak.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub, berkata kementeriannya menyokong usaha untuk membangunkan industri akuakultur agar industri perikanan negara terus berkembang, dapat menyediakan pekerjaan serta menambah nilai eksport.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua PPK di negara ini supaya tadbir urus dijalankan dengan baik dan memastikan aktiviti yang dijalankan pertubuhan masing-masing dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Hadir sama, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Uda Sulai serta Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Azulita Salim.

-SH

Tinggalkan komen anda