Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

“Sejarah Tercipta” Hadiahkan SMK Mak Lagam Tempat Kedua

By 15 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)

KEMAMAN, 15 Jul (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam berjaya dinobatkan sebagai naib juara dalam pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung baru-baru ini.

Kumpulan dari sekolah tersebut dianggotai oleh Muhammad Adam Ashman Muhammad Khairull, Umar Radhi Azimin, Ahmad Syakir Qusairy Moin, Che Wan Liyana Nadhirah C. W Razak dan Nur Farhah Wanda Ruslan berjaya membawa pulang wang tunai RM1,500, sijil berserta plak.

Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku SMK Mak Lagam, Noraaini Musa, 42, berkata dia terkejut dan bersyukur kerana tidak menyangka sekolahnya berjaya menjadi naib juara kerana peserta daripada sekolah lain semuanya hebat-hebat dan berpotensi untuk menang.

Memilih tajuk “Sejarah Tercipta” yang berkisahkan tentang sekumpulan pelajar yang ketandusan ilmu mengenai sejarah mengunjungi Galeri Tatanegara di Ekspo Terengganu, Noraaini turut dibantu tiga orang guru dan pelajar bagi menyiapkan skrip berserta latihan dalam masa yang singkat.

Bagi Ketua kumpulan, Che Wan Liyana Nadhirah C. W. Razak, 16, berkata dia dan rakan-rakan rasa gembira dan berbangga kerana dapat mengharumkan nama sekolah dengan kejayaan ini biarpun hanya sekadar naib juara.

“Tidak dinafikan saya dan rakan-rakan rasa sedikit kecewa kerana tidak dapat mewakili Negeri Terengganu ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Ipoh, Perak pada 26 hingga 28 Julai ini.

“Tahniah kepada wakil Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud yang akan mewakili Terengganu ke peringkat akhir dan berharap akan beroleh kemenangan secara tidak langsung menaikkan nama negeri,” katanya yang ditemui di Pusat Sains dan Kreativiti Negeri Terengganu, di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Mohd Tahar Sali mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu.

-SH

Tinggalkan komen anda