Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Kolaborasi Pintar PMR Alor Gajah Bersama Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Melaka

By 1 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain/ Mastika Hablum (Alor Gajah)

ALOR GAJAH, 1 Jul (Malaysiaaktif) – Society of the Blinds Malaysia Cawangan Melaka (SBM) dan Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Alor Gajah telah bekerjasama dalam menjayakan Program Pengimarahan PMR dan Sambutan Hari Keluarga SBM Cawangan Melaka bertempat di perkarangan Pejabat Penerangan Daerah Alor Gajah.

Program yang bermula pada jam 8.00 pagi ini telah dihadiri seramai 100 orang ahli dan ahli bersekutu SBM Cawangan Melaka dan dimulakan dengan taklimat yang telah disampaikan oleh pegawai daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Perasmi bersama Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah dan Pengerusi SBM Cawangan Melak.

Perasmi bersama Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah dan Pengerusi SBM Cawangan Melak.

JKM juga telah bersetuju untuk menyumbangkan 20 unit tongkat putih untuk diagihkan kepada ahli-ahli pertubuhan itu.

Majlis kemudian disusuli dengan aktiviti seperti pertandingan masakan kuih tradisional, karaoke dan sukaneka. Majlis disempurnakan oleh Chong Chin Xiong, Ahli Majlis Perbandaran Alor Gajah selaku wakil rasmi kepada EXCO Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Melaka.

Beliau mengingatkan bahawa semua Orang Kurang Upaya (OKU) perlulah melibatkan diri dalam persatuan dan pertubuhan supaya suara mereka akan menjadi lebih kuat dan dapat didengari.

“OKU seharusnya mempunyai persatuan yang kuat dan bersatu seperti SBM Melaka agar suara mereka dapat didengari oleh Kerajaan dan orang ramai. Pengerusi SBM Melaka contohnya telah dilantik menjadi Ahli Turut Hadir Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) supaya suara persatuan ini dapat dibawa untuk diambil perhatian oleh Kerajaan”, ujar beliau.

Pengerusi SBM Melaka, Hashim Ishak berkata buat julung kalinya persatuan ini bekerjasama bersama agensi kerajaan dalam menjalankan program dan diharapkan kolaborasi pintar seperti ini dapat diteruskan lagi dimasa hadapan.

“Program yang dijalankan bersama Jabatan Penerangan ini dilihat sangat baik untuk diteruskan dimasa hadapan kerana semua ahli dapat didekati dan diberi penerangan mengenai isu-isu semasa dan usaha kerajaan dalam memastikan setiap lapisan masyarakat terutama golongan Orang Kurang Upaya dapat dibantu. Dikesempatan ini kami turut dimaklumkan mengenai peranan dan fungsi PMR daripada Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah, Salina Hasan”, katanya.

Society of the Blinds Malaysia Cawangan Melaka (SBM) telah ditubuhkan pada Mac 2006 dan beribu pejabat di Durian Daun, Melaka. Objektif penubuhan pertubuhan ini adalah untuk menggalakkan semua orang cacat penglihatan supaya berusaha kearah mencapai kemajuan dalam sosio-ekonomi demi kebaikan bersama.

Terdapat seramai 100 orang ahli dan 60 orang ahli bersekutu didalam SBM Cawangan Melaka dan mereka merupakan ahli gabungan Majlis Kebangsaan Orang Buta Malaysia.

-KN

Tinggalkan komen anda