
Laporan/foto : Anuar Che Amat (Kangar)
KANGAR, 25 Jul (Malaysiaaaktif) – 108 buah kampung dari seluruh negara telah dipilih dan dimajukan di dalam Program Desa Lestari oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan telah berjaya menjana pendapatan terkumpul sebanyak RM42.51 juta serta mewujudkan 869 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sehingga Mei 2019.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Dato Seri Rina Mohd Harun berkata di Negeri Perlis, sebanyak lima buah kampung iaitu Kampung Paya Guring, Kampung Mata Ayer, Kampung Padang Besar Selatan, Kampung Felcra Lubuk Sireh dan Kampung Banggol Sena telah dipilih untuk menyertai Program Desa Lestari.
“KPLB telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5.99 juta untuk lima buah kampung tersebut bagi menjayakan pelbagai projek ekonomi seperti pelancongan desa, ternakan madu lebah kelulut, perkhidmatan peladangan serta perkhidmatan sewaan kanopi.”
“Program Desa Lestari ini juga menitikberatkan pembangunan modal insan dan muafakat di kalangan masyarakat kampung untuk meningkatkan pendapatan penduduk setempat dan kejayaan mewujudkan hotel oleh Koperasi Peserta Rancangan FELCRA Lubuk Sireh ini juga boleh dijadikan sebagai bukti bahawa penduduk di luar bandar juga mampu membangunkan ekonomi mereka sendiri,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian LS Village Hotel dan Karnival Makanan Desa bertempat di Sungai Chuchoh, Padang Besar di sini.
“Saya menyeru golongan belia di negeri ini menjadikan usaha Koperasi FELCRA ini sebagai satu contoh untuk memajukan diri pada masa hadapan tanpa perlu berhijrah ke pusat bandar,” ujarnya lagi.
Tambah beliau lagi, rakyat di negeri ini juga dipelawa untuk menyertai program Prospek yang baru diwujudkan oleh KPLB bagi tujuan mengusahakan tanah-tanah terbiar secara berkelompok dengan tanaman yang mampu menjana pendapatan tambahan dan kementerian juga baru sahaja melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 yang mempunyai sepuluh teras untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar .
Majlis diakhiri dengan penyerahan sumbangan bantuan perniagaan dan kunci rumah oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar kepada beberapa orang penerima.
Majlis perasmian hotel tersebut adalah sebahagian dari program yang diatur sempena rangka lawatan kerja selama tiga hari Menteri Pembangunan Luar Bandar ke negeri ini.
Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Perlis Asmaiza Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Luar Bandar Norison Ramli, Setiausaha Bahagian Daerah (BPD) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Mohd Nizam Jamaludin dan Pengerusi Koperasi Peserta Rancangan FELCRA Lubuk Sireh Haji Ahmad Suboh.
-NI-