
Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)
MEMBAKUT, 31 Jul (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah sedang membaikpulih semula kawasan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Binsulok yang hampir musnah terbakar beberapa tahun lepas.

Ewon (tengah) menyampaikan ucapan ringkas selepas mendengar taklimat pembangunan daerah kecil Membakut, turut kelihatan Rasinin (kiri) dan Fredian (kanan).
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ia bermula dengan pembinaan tebatan kebakaran kawasan itu bagi mengelak kebakaran berulang pada masa akan datang.
“Kebakaran yang berlaku beberapa tahun lalu di kawasan ini memusnahkan hampir 95 peratus kawasan tanaman kelapa sawit projek MESEJ Binsulok.
“Sementara menunggu tanaman kelapa sawit yang baru ditanam matang dan mengeluarkan hasil dalam tempoh empat hingga lima tahun, kita sedang mengenalpasti kawasan yang dicadangkan untuk program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) di MESEJ Binsulok yang sesuai untuk penanaman nanas atau tanaman lain yang sesuai diperkenalkan di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pembangunan MESEJ Binsulok, kerja-kerja penaiktarafan fasa 1 jalan masuk menuju ke kawasan itu dan melawat Kilang Mee Kering di Kampung Lumat Membakut, di sini, pada Rabu.
Terdahulu itu, Ewon diberikan taklimat pembangunan Daerah Kecil Membakut oleh Penolong Pegawai Daerahnya, Awangku Raimy Pg. Abdul Rahman.
Turut hadir dua Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis dan Dumi Pg.Masdal; Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Fredian Gan; Jurutera Kanan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Ir.Mohd Razali Marshil; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Abdul Kadir Jailani; Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), pegawai-pegawai Jabatan Air, Sabah Electricity Sdn.Bhd (SESB) dan para pemimpin masyarakat lain.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, kerja-kerja menaiktaraf jalan menghubungkan jalan utama Bandau Kuala Penyu ke MESEJ Binsulok yang kini dalam pelaksanaan dijangka siap tahun 2021 akan memberi keselesaan kepada penduduk MESEJ khasnya dan penduduk sekitar Kampung Ulu Binsulok.
“Dari segi penyediaan bekalan air ke perkampungan MESEJ Binsulok, proses tender akan bermula September ini dan saya berharap kontraktor-kontraktor yang dilantik menyiapkan penaiktarafan jalan raya dan projek bekalan air dapat menyiapkannya mengikut jadual yang ditetapkan.

Ewon ketika ditemui pemberita selepas lawatan dan tinjauan kerja-kerja penaiktarafan jalan, perkampungan MESEJ Binsulok dan Kilang Mee.
“Begitu juga dengan bekalan elektrik di kawasan perkampungan MESEJ, kita akan kemukakan permohonan kepada KPLB Persekutuan agar mereka memberi keutamaan dalam program penyediaan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) bukan sahaja di MESEJ Binsulok tetapi MESEJ Montenior, Beaufort pada tahun ini dan tahun hadapan.
“Pada masa yang sama, saya berharap agar pihak LKTNS sebagai agensi pelaksana MESEJ Binsulok dapat menyediakan genset untuk keperluan rumah-rumah kawasan MESEJ apabila para peserta mula menduduki rumah MESEJ pada awal tahun depan sementara menunggu pembekalan elektrik luar bandar yang disediakan oleh KPLB Persekutuan,” katanya.
Mengenai Program Kampung Sejahtera, Ewon berkata, Kampung Tiong Baru Membakut telah dikenalpasti untuk dimasukkan dalam program itu.
“Pemilihan kampung ini berdasarkan beberapa krateria iaitu kampung yang belum ada kelengkapan ameniti sosial yang lain, bekalan elektrik, air dan jalan raya,” katanya.
ER