Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

KPLB Sabah Capai Enam KPI Bangunkan Luar Bandar

By 2 Julai 2019Tiada komen5 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 2 Julai (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah berjaya mencapai enam daripada 10 petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan pucuk pimpinan kerajaan untuk kementerian itu tahun ini.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, kejayaan itu menunjukkan sokongan dan kerjasama mantap semua pihak termasuk Setiausaha Tetap, para pegawai dan pejabat daerah seluruh Sabah.

Beliau berkata, enam KPI yang dicapai setakat ini ialah pembinaan dewan komuniti, jambatan gantung, titian dan jambatan kecil, menambah peserta Mini Estet Sejahtera (Mesej), mewujudkan eko pelancongan luar bandar dan melaksanakan serta melatih penduduk luar bandar dalam pelbagai program kemahiran.

“Kita berjaya menganjurkan pelbagai kursus kemahiran termasuk kursus menjahit pakaian tradisional di bawah Program Pembangunan Keusahawanan Desa dan mewujudkan dua eko pelancongan luar bandar iaitu di Mesej Kaingaran, Tambunan dan Mesej Kinolosodon, Papar di bawah Program Pembangunan Pelancongan Luar Bandar.

Ewon diiringi Fredian disambut mesra warga KPLB Sabah pada majlis itu.

Ewon diiringi Fredian disambut mesra warga KPLB Sabah pada majlis itu.

“KPLB Sabah juga berjaya mencapai KPI untuk menyediakan kemudahan ameniti sosial berkaitan pusat-pusat komuniti termasuk jambatan gantung, di mana kita diminta menyediakan jumlah tertentu di seluruh Sabah.

“Dari segi pembangunan Mesej, kita telah menambah jumlah pesertanya di tiga buah Mesej iaitu Mesej Timpangoh, Penampang; Mesej Tukar, Pitas dan Mesej Mansalu, Ranau yang kini dalam proses untuk menyediakan tempat tinggal kepada para peserta yang kita akan masuk tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis Sambutan Hari Raya dan Kaamatan KPLB Sabah anjuran Kelab Rekreasi KPLB Sabah, pada Isnin.

Ewon (tiga dari kiri) terpegun melihat kecantikan baju tradisi yang dijahit oleh peserta kursus jahitan anjuran KPLB Sabah.

Ewon (tiga dari kiri) terpegun melihat kecantikan baju tradisi yang dijahit oleh peserta kursus jahitan anjuran KPLB Sabah.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian mengakui bukan mudah untuk mencapai KPI tersebut tanpa bantuan, kerjasama dan sokongan padu semua pihak.

Beliau juga berharap pucuk pimpinan kerajaan terutamanya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menambah peruntukan sedia ada untuk program-program pembangunan luar bandar.

Katanya penambahan peruntukan yang lebih besar itu bukan sahaja dapat membantu mencapai KPI yang ditetapkan tetapi menyediakan kemudahan asas yang diimpi-impikan masyarakat luar bandar selama ini.

Ketika ditanya jumlah bajet yang diperlukan untuk pembangunan luar bandar, beliau berkata “Saya fikir keperluan untuk mensejahterakan kawasan luar bandar berbilion ringgit tetapi kita mengambil pendekatan yang praktikal dengan mengambil kira kekuatan kewangan negeri”.

Ewon (tengah) dan Fredian mempamerkan baju tradisional bersama para peserta kursus jahitan anjuran KPLB Sabah.

Ewon (tengah) dan Fredian mempamerkan baju tradisional bersama para peserta kursus jahitan anjuran KPLB Sabah.

“Kita telahpun mengemukakan input ini kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN) dan ia melibatkan satu jumlah yang besar berpuluh juta ringgit, cuma ia masih dalam peringkat perincian dan saya difahamkan dalam masa terdekat bajet akan dibuat oleh Kementerian Kewangan untuk setiap kementerian bagi memperincikan semula input yang kita kemukakan itu kerana kata putus bajet ini terletak kepada Kementerian Kewangan,” katanya.

Ewon berkata, bajet yang dicadangkan itu merangkumi peruntukan untuk program bina baru Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah bajet kerajaan negeri, penyediaan Bekalan Air Bersih Luar Bandar (BALB) Alternatif kepada tidak dicapai bekalan air oleh Jabatan Air, Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Alternatif yang tidak dapat dicapai oleh sistem grid SESB serta bajet untuk memperkasakan pelancongan luar bandar.

“Kita juga memohon penambahan peruntukan untuk program sedia ada seperti Mesej, Program Kampung Sejahtera, kursus kemahiran dan pembangunan keusahawan desa,” katanya.

“Semua ini telah kita kemukakan kepada UPEN dan Setiausaha Tetap Kementerian akan membawa perkara ini kepada pendengaran bajet yang akan diadakan oleh Kementerian Kewangan dalam masa terdekat,” katanya.

Ewon menyampaikan cenderakenangan kepada pegawai KPLB Sabah yang telah bersara wajib.

Ewon menyampaikan cenderakenangan kepada pegawai KPLB Sabah yang telah bersara wajib.

Ewon berkata KPLB Sabah juga akan memberi tumpuan kepada lima daerah termiskin iaitu Pitas, Kudat, Kota Marudu, Tongod dan Matunggong termasuk Paitan yang mempunyai bilangan terbanyak ketua isi rumah termiskin dan tersenarai dalam e-kasih.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab kepada pembasmian kemiskinan di Sabah, kita akan memberi tumpuan kepada lima daerah ini.

“Untuk ini, kita akan perkasakan kerjasama dengan KPLB Persekutuan dan juga kementerian-kementerian lain di peringkat persekutuan.

“Pada masa yang sama kita juga akan memperkasakan program sedia ada di KPLB Sabah dengan menambah program baharu bermula tahun depan.

“Usaha ini bukan sahaja untuk mengeluarkan lima daerah itu daripada garis kemiskinan tetapi mensejahterakan semua daerah seluruh negeri agar masyarakat luar bandar secara keseluruhannya dapat menikmati program baharu yang kita perkenalkan,” katanya.

Ewon menyampaikan hadiah bertuah kepada wartawan RTM Sabah, Sharon Kisil.

Ewon menyampaikan hadiah bertuah kepada wartawan RTM Sabah, Sharon Kisil.

Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan yang bersara wajib, bakal bersara dan pegawai yang berpindah ke jabatan lain.

Turut hadir, Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Fredian Gan; Timbalan Setiausaha Tetap, Aftar Nurajat; Pegawai-pegawai Daerah dan Penolong-penolong Daerah.

-EM

Tinggalkan komen anda