Skip to main content
Berita Sabah & LabuanSabah

KPLB Sabah Sedia RM1 Juta untuk Pusat Keusahawanan Desa

By 23 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

LAHAD DATU, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi membina Pusat Keusahawanan Desa di tiga daerah di Sabah.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, tiga daerah yang telah dikenalpasti itu ialah Kota Belud, Keningau dan Lahad Datu.

“Saya berharap Majlis Tindakan Daerah diketiga-tiga daerah itu dapat mengadakan perbincangan secara terperinci untuk memuktamadkan tapak tersebut.

“Perbincangan ini penting untuk mengelak timbul isu-isu pertikaian tanah pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mendengar Taklimat Pembangunan Daerah Lahad Datu yang disampaikan oleh Pegawai Daerahnya, Dr. Mohammad Ayub Yakub dan Pembangunan Daerah Kecil Tungku oleh Penolong Pegawai Daerah, Firuz Mohd Dzul di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Lahad Datu, di sini, hari ini.

Ewon (dua dari kiri) mendengar penjelasan daripada Mohammad Ayub (empat dari kiri) mengenai cadangan tapak Mesej Baru akuakultur Lahad Datu, turut kelihatan Rasinin (tiga dari kiri) dan Fredian (kiri)

Ewon (dua dari kiri) mendengar penjelasan daripada Mohammad Ayub (empat dari kiri) mengenai cadangan tapak Mesej Baru akuakultur Lahad Datu, turut kelihatan Rasinin (tiga dari kiri) dan Fredian (kiri)

Ewon berkata, kos pembinaan setiap Pusat Keusahawanan Desa pusat itu bergantung kepada keluasan dan jumlah bangunan yang boleh ditempatkan di pusat itu.

“Pembinaan pusat itu dilaksanakan secara berfasa misalnya, jika pejabat daerah berkenaan memerlukan lapan bangunan untuk usahawan mereka, ia tidak dapat dilaksanakan secara bersekali tetapi akan dibina secara berfasa.

“Pada peringkat awal, mungkin kita bina tiga bangunan dan akan ditambah secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Ketika ditanya jenis perniagaan yang akan diusahakan di kawasan itu, Ewon berkata ia bergantung kepaa bidang keusahawanan yang ditetapkan oleh Pejabat Daerah masing-masing.

“Contohnya kita boleh membawa masuk usahawan kraftangan mengusahakan perniagaan mereka di pusat itu, bahagian lain mungkin barangan kosmetik dan kecantikan yang menggunakan produk atau bahan mentah tempatan, produk makanan berasaskan ikan dan sebagainya.

“Mereka juga boleh mengusahakan perusahaan pakaian tradisi suku kaum di sini kerana kerajaan telah membenarkan pemakaian pakaian etnik semua suku kaum di negeri ini untuk ke pejabat pada hari-hari tertentu.

“Oleh itu, ini satu peluang perniagaan kepada usahawan- usahawan luar bandar termasuk di Lahad Datu,” katanya.

Mengenai taklimat itu, Ewon berkata maklumat yang diperolehi memudahkan kementeriannya merancang dan menyediakan pelan tindakan dan belanjawan pada masa akan datang.

Dalam lawatan itu beliau turur meluangkan masa meninjau tapak cadangan Pusat Keusahawanan Desa Lahad Datu yang dicadangkan oleh Adun Lahad Datu dan meninjau lokasi cadangan tapak baru Mini Estet Sejahtera (Mesej) akuakultur di daerah itu.

Selepas lawatan di sini, Ewon dan rombongan meneruskan lawatan kerja di Kunak untuk meninjau Mesej Sapang dan Pangi seterusnya mendengar Taklimat Pembangunan Daerah Kunak yang disampaikan oleh Juraimin Jadil.

Tinggalkan komen anda