Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Kes Denggi di Kelantan Catat Peningkatan

By 23 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Nur Shafira Mat Hussin (Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 23 Jul (Malaysiaaktif) – “Kes Denggi di Kelantan catat peningkatan mendadak dengan 2,030 kes direkodkan berbanding hanya 518 kes tahun lepas bagi tempoh masa yang sama iaitu Januari hingga 13 Julai yang lalu.

“Ini merupakan statistik yang membimbangkan dan tidak wajar dipandang remeh oleh masyarakat serta komuniti,” ujar Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Zaini Hussin.

Daripada kes yang direkodkan itu terdapat tiga kematian yang berlaku akibat demam denggi iaitu dua mangsa dari Daerah Kota Bharu dan satu dari Bachok.

Malah lebih merisaukan berlaku peningkatan 58 peratus kes berkaitan denggi pada minggu ke-28, berbanding minggu sebelumnya.

“Peningkatan kes denggi dikesan antaranya disebabkan oleh faktor cuaca yang tidak menentu iaitu panas dan hujan serta terdapat tempat takungan air yang pastinya akan menjadi kepada tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Selain daripada faktor cuaca, sikap dan keprihatinan masyarakat mengenai tahap kebersihan kawasan sekitar kediaman, lokaliti setempat juga menjadi penyumbang kepada jumlah kes yang meningkat,” ulas Dr Zaini ketika ditemubual selepas merasmikan Program Kayuhan Sihat Kelantan – Terengganu bertempat di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, dekat sini.

Program bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat yang mana melibatkan 300 pengayuh basikal dari Kelantan dan Terengganu.

Dr Zaini melihat pameran demam denggi yang disediakan di tapak perasmian

Dr Zaini melihat pameran demam denggi yang disediakan di tapak perasmian

Kayuhan yang bermula di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh dan berakhir di Sekolah Kebangsaan Beting Lintang, Besut, Terengganu melibatkan jarak 40 kilometer.

Dalam pada itu menurut Dr Zaini lagi, Daerah Kota Bharu mendominasi tangga teratas di negeri ini dengan mencatatkan 730 kes demam denggi, seterusnya Daerah Tumpat dengan 273 kes diikuti dengan Daerah Bachok sebanyak 156 kes.

Manakala selebihnya dikesan dari tujuh daerah lain namun Daerah Pasir Puteh tidak mencatatkan peningkatan kes.

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan kini akan melaksanakan pendekatan untuk mengurangkan dan mengekang peningkatan kes demam denggi ini menerusi dua cara utama iaitu dengan mempromosi serta memberi galakan kepada masyarakat dan komuniti supaya melaksanakan gotong-royong di kawasan tempat tinggal masing-masing walaupun kawasan itu tidak mempunyai sebarang kes denggi.

Selain daripada itu langkah kedua adalah dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada, yang mana pegawai bertugas akan menjalankan pemeriksaan dan sekiranya menemui sebarang tempat pembiakan nyamuk Aedes maka kompaun akan dikeluarkan kepada pemilik kediaman/premis.

Mengakhiri temubual, Dr Zaini berharap agar semua pihak bukan hanya masyarakat malah badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta dapat memberikan kerjasama serta sokongan sepenuhnya kepada Jabatan Kesihatan untuk sama-sama mengekang peningkatan kes demam denggi ini.

-NAZ

Tinggalkan komen anda