
Laporan/foto: Ramasamy Amas/ Siti Noorezrin Mahmood (Jempol)
JEMPOL, 26 Jul (Malaysiaaktif) – “Walaupun rakyat boleh memperolehi maklumat dan dasar kerajaan di hujung jari tetapi maklumat yang diperolehi melalui komunikasi bersemuka adalah lebih berkesan dan jelas untuk difahami,” demikian kata Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Shabli Arshad ketika penyampaian ucapan dalam majlis program Jiwa Murni dan Taklimat Minda di Balairaya Kampung Serampang Indah semalam.
Tambah beliau, walaupun kerajaan menggunakan pelbagai medium untuk menyebarkan maklumat dan dasar kerajaan seperti di media elekronik, media sosial dan media cetak tetapi masih ada masyarakat yang kurang faham dan jelas tentang bantuan kerajaan seperti Mysalam, i-SURI, Rebat TNB, PEKA B40, e-kasih dan sebagainya.
“Sebab itu Jabatan Penerangan mengambil pendekatan seperti ini dengan menjemput pegawai dari agensi yang terlibat seperti Jabatan Kesihatan menyampaikan taklimat berkaitan Mysalam, begitu juga Kumpulan wang Simpanan Pekerja (KWSP) tentang i-Suri, e-kasih dari pejabat daerah, manakala rebat TNB B40 dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) Seremban di samping mereka membuka kaunter penerangan,” katanya.
Program ini merupakan anjuran bersama Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kampung Serampang Indah yang telah berjaya menghimpunkan lebih kurang 200 orang terdiri daripada pelbagai kaum dari masyarakat setempat. Selain daripada taklimat berkaitan inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat turut diselitkan juga taklimat berkaitan keselamatan dari Unit Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol dan juga bantuan pertanian dari Jabatan Pertanian.
Sementara itu, Penyelaras DUN Sg.Lui, Zainal Fikri berkata selain Jabatan Penerangan memainkan peranan penting dalam usaha memasarkan maklumat kerajaan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga perlu memainkan peranan untuk menyalurkan apa jua dasar dan maklumat kerajaan kepada masyarakat di akar umbi.
Beliau menambah, “Masyarakat masih kurang jelas tentang bantuan kerajaan, maka itu MPKK perlu mengambil satu inisiatif dengan membantu memberi maklumat serta membantu mereka mengisi borang berdasarkan keperluan mereka.”
Beliau turut menjelaskan bahawa di bawah kepimpinan kerajaan baharu, banyak program dan aktiviti akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi menjamin kesejahteraan rakyat, namun demikian yang penting ialah menjaga hubungan perpaduan antara kaum.
Oleh itu, beliau menyarankan agar perkukuhkan perpaduan serta perbanyakkan lagi aktiviti yang melibatkan semua kaum sebagaimana yang diadakan petang ini. Dalam majlis yang sama, beliau meluluskan peruntukan RM3 ribu kepada Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kampung Serampang Indah bagi tujuan melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manafaat sebagaimana program seperti ini pada masa akan datang.
Menurut seorang penduduk, Mohd Adam, 73, “Banyak maklumat yang saya dapat melalui program ini terutama tentang maklumat bagaimana hendak menuntut wang yang tidak dituntut, dari Jabatan Akauntan Negara.”
Manakala Muniammah, 62 pula berkata, “Saya sudah tiga kali mengisi borang e-kasih tetapi sehingga sekarang masih belum mendapat maklumat tetapi hari ini pegawai berkenaan sudah memberi jaminan akan membantu menyelesaikan masalah saya. Terima kasih kepada Jabatan Penerangan kerana dengan adanya program hari ini saya tidak perlu pergi ke agensi terlibat. Program ini sangat membantu kami terutama yang bekerja sendiri kerana untuk pergi ke agensi berkenaan memerlukan kos pengangkutan.”
-KN