Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Cabaran Ibu Bapa Digital Membina Keluarga Harapan

Laporan/ foto: Suzilawati Binti Kamarudin (Negeri Sembilan)

SEREMBAN, 26 Jul (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2019 telah diadakan di Dewan Pavilion Pusat Keluarga LPPKN Negeri Sembilan, semalam. Sebuah forum bersandarkan tema “Kitakan Keluarga – Membina Harapan Malaysia Baru” telah menarik minat hampir 250 orang peserta forum terdiri daripada anggota badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan kakitangan kerajaan bagi membincangkan cabaran ibu bapa di era teknologi dunia tanpa sempadan.

Nicole bersama ahli panel.

Nicole bersama ahli panel.

Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyeru supaya masyarakat hari ini berbalik kepada masyarakat dahulu yang lebih prihatin kepada masyarakat sekeliling seperti mengambil tahu kebajikan anak jiran.  Sebagai salah seorang ahli panel forum, beliau berpendapat bahawa peranan sokongan sosial yang terhad lantaran tuntutan kerjaya dan masa menyumbang kepada  keruntuhan institusi kekeluargaan di usia muda yang berlaku pada masa kini.

“Ibu bapa hari ini adalah ibu bapa digital yang mengharungi cabaran baru untuk mengawal anak-anak daripada terdedah kepada jenayah siber seperti pedofilia, buli siber dan pornografi di alam maya yang mana matlamat utamanya adalah mengajar anak menjadi insan yang bijak dalam teknologi maklumat.

Selain itu, kesibukan menyebabkan kebergantungan ibu bapa menjadikan gajet sebagai pengasuh anak-anak untuk mengawal tingkah laku mengundang bahaya kepada ketagihan gajet dan kesihatan mental serta emosi sesebuah keluarga.

“Sehubungan itu, ibu bapa dinasihatkan untuk datang ke mana-mana pejabat kaunseling kekeluargaan yang ada di negara kita seperti Pejabat Kaunseling Majlis Agama Islam, menyertai program SMART Parenting yang dianjurkan oleh LPPKN dan sebagainya untuk berkongsi pandangan dan nasihat  bagi mengatasi tekanan dan masalah yang dihadapi oleh ibu bapa di era ini,” kata Ketua Jabatan Kaunseling dan Infrastruktur Khas MAINS, Norazman Amat selaku salah seorang panel dalam forum.

Antara peserta forum yang hadir.

Antara peserta forum yang hadir.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon dalam ucapan perasmiannya menyebut, senario kekeluargaan pada hari ini lebih ramai gemar memilih menjadi pasangan komuter iaitu pasangan yang tinggal jarak jauh kerana tuntutan ekonomi seisi keluarga, justeru majikan diminta bertimbang rasa kepada golongan keluarga komuter seperti memudahkan urusan pertukaran, memperkenalkan waktu kerja anjal sepertimana  penjawat awam dan menggalakkan trend bekerja dari rumah.

Majlis ini turut dihadiri isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof yang turut mendeklamasikan sajak bertajuk Keluarga Harapan di akhir majlis tersebut. Turut diadakan pameran daripada agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia.

-KN

Tinggalkan komen anda