
Laporan/foto: Yaacob Hamud/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 14 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Sabah dengan kerjasama Pejabat Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu akan menganjurkan Maritime Silkroad Legend Concert 2019 (MSLC) bertempat di Auditorium Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri (PPNS) 18 Julai ini.
Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah William Baya, berkata konsert tersebut diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Konsert tertutup tersebut akan dihadiri oleh Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Datuk Shuib.
Bertemakan One Belt,One Road (OBOR), pemain piano terkenal dunia, Caludia Yang dan Guangxi Symphony Orchestra dijangka akan membuat persembahan pada konsert berkenaan.
William yang mewakili Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata demikian pada sidang media di PPNS pada Sabtu.
Hadir sama pada sidang media tersebut adalah Timbalan Konsul Jeneral Republik China di Kota Kinabalu Zhang He, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Paan Ying On @ Pon Ying On, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) China Construction Bank Feng Oi, Pengarah Tour Plano Concert Yang Ling Yang, Pemain Piano Claudia Yang dan Persatuan One Belt One Road Malaysia Datuk Lawrence Yeo.
-SH