
Laporan/foto: NorFadzlina Ahmad Fadzli (Kelantan)
KOTA BHARU,25 Jul (Malaysiaaktif) – PeKA B40 adalah salah satu inisiatif kerajaan yang diperuntukkan melalui Belanjawan 2019 dimana PeKA B40 adalah skim saringan pemeriksaan kesihatan percuma di klinik kesihatan dan klinik swasta terpilih yang mensasarkan golongan berpendapatan rendah khususnya penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang berumur 50 tahun ke atas.
PeKA B40 diperkenalkan berikutan kepekaan kerajaan terhadap golongan 50 tahun ke atas berisiko menghidapi penyakit. Penerima skim PeKA B40 adalah kalangan yang sekurang-kurangnya menghidapi satu penyakit tidak berjangkit yang tidak didiagnoskan.
Selain daripada itu, golongan B40 kategori umur 50an adalah terdedah kepada risiko penyakit kanser, kesihatan mental dan menghadapj beban kos rawatan yang tinggi serta masalah pengangkutan untuk rawatan di klinik atau hospital kerajaan.
Tinjauan MalaysiaAktif di sekitar bandar ini, mendapati kebanyakkan masyarakat umum, sama ada penerima BSH atau tidak, masih lagi ramai yang tidak mengetahui akan inisiatif ini.
Mansyur Ahmad, 58, seorang penerima BSH menyatakan beliau tidak tahu berkenaan skim PeKA B40 yang ditawarkan oleh kerajaan.
“Jika saya tahu akan hal ini, sudah tentu saya akan mendapatkan saringan pemeriksaan kesihatan secara percuma secepat mungkin. Ini bagi mengelakkan sebarang penyakit yang ada menjadi semakin parah,” tambah beliau lagi.
Menurutnya juga, skim ini sangat diperlukan kepada golongan berpendapatan rendah seperti beliau yang hanya berniaga kecil-kecilan.
Sementara itu, Siti Fatimah Borhan, 24, pula memberitahu MalaysiaAktif bahawa beliau tidak tahu dan tidak pernah dengar berkaitan PeKA B40.
“Saya tak pernah dengar atau terbaca berkenaan skim PeKA B40 sehingga ke hari ini, dan ini merupakan kali pertama dengar berkenaan skim ini,” tegas Siti Fatimah.
Beliau berhasrat untuk berkongsi maklumat ini bersama jiran-jirannya yang berumur 50 tahun ke atas di sekitar kampungnya.
Muhammad Afiq Zakir, 29, juga berkata, beliau tidak mengetahui berkenaan skim PeKA B40 yang ditawarkan kepada penerima BSH itu.
Walaupun beliau penerima BSH namun faktor umur tidak melayakkan Muhammad Afiq untuk mendapatkan manfaat daripada PeKA B40.
“Skim PeKA B40 ini sesuatu yang dilihat sangat diperlukan oleh golongan pendapatan rendah dan menjangkau umur lebih 50 tahun,” ulas beliau lagi setelah dijelaskan mengenai syarat kelayakan oleh MalaysiaAktif.
Manakala Penolong Pegawai Perubatan, Unit Kesihatan Awam, Pejabat Kesihatan Negeri Kelantan, Raja Ibrahim Raja Daud, berkata, PeKA B40 merupakan inisiatif kerajaan kepada rakyat golongan berpendapatan rendah yang berumur 50 tahun ke atas menjalani saringan pemeriksaan kesihatan bagi mengesan penyakit-penyakit kronik pada peringkat awal.
“Melalui skim ini juga, kerajaan telah melantik beberapa buah klinik swasta sebagai panel untuk memudahkan lagi rakyat membuat pemeriksaan kesihatan.
“Perlantikan panel ini adalah bagi memudahkan dan menjimatkan masa penerima Skim PeKA B40 mendapatkan khidmat pemeriksaan,” ujarnya lagi.
“PeKA adalah sesuatu yang baru dan masih ramai rakyat yang tidak mengetahui dan memahami manfaat PeKA. Kerajaan atau pihak berwajib perlu mengambil langkah yang lebih bagi memberi pemahaman dan penyampaian berkenaan skim ini kepada golongan sasar,” tambah beliau lagi.
Raja Ibrahim juga berkata, seramai 800,000 orang daripada 3.6 juta penerima BSH adalah layak untuk memohon skim PeKA B40. Bagi negeri Kelantan pula, sehingga ke hari ini sebanyak 11 buah klinik swasta telah berdaftar sebagai panel pemeriksaan kesihatan bagi skim PeKA.
-NAZ