Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Ikhlas Dalam Lakonan Jadi Azimat “Mimpi Apoi” ke Peringkat Kebangsaan

By 25 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto; Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian/Jasmini Daud (Labuan)

LABUAN, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Keikhlasan untuk bertanding terutama dalam konsep berlakon di atas pentas menjadi azimat buat Kumpulan Sketsa Rukun Negara Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha yang akan membawa cabaran Wilayah persekutuan Labuan ke Peringkat Kebangsaan.

Menurut guru pembimbing kumpulan Jasmini Daud, beliau menekankan kepada anak didiknya untuk sentiasa buat yang terbaik, ikhlas dalam lakonan terutamanya ketika bertanding di atas pentas.

“Pelakon harus memahami teks dialog sebelum menuturkannya, kerana keikhlasan menuturkan bait-bait dialog secara langsung akan sampai kepada hati pendengarnya, sekaligus dapat membantu menyampaikan mesej.

“Saya juga menekankan disiplin latihan kepada pelajar serta menghayati nilai tanggungjawab, kerana apabila bertanding bermakna seluruh warga sekolah meletakkan harapan dan ini merupakan satu tanggungjawab.

“Bertanding bukan hanya untuk menang, tapi usaha kena sehabis baik, jika kalah tidak kesal, menang pula tidak merasa besar,” katanya ketika ditemui sempena Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Labuan 2019, di sini hari ini.

Kumpulan Sketsa SMK Rancha-Rancha semasa menjuarai Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat W.P Labuan.

Kumpulan Sketsa SMK Rancha-Rancha semasa menjuarai Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat W.P Labuan.

Menurut Jasmini lagi, aspek disiplin amat dititikberatkan hingga menjulang SMK Rancha-Rancha sebagai juara di peringkat negeri.

“Dalam apa jua aktiviti, disiplin adalah paling utama. Menjadi johan peringkat negeri adalah amanah pengetua dan kami rasa sangat bersyukur kerana telah mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pengetua kami.

“Skrip juga disiapkan dua bulan sebelum pertandingan bagi memastikan pelakon menghayati watak sebaiknya,” ujar graduan berkelulusan Ijazah Seni Visual berminorkan drama dan teater ini.

Jasmini turut menyasarkan untuk tersenarai dalam tiga terbaik dan harapan semoga skrip yang ditulis mendapat perhatian juri.

Sementara itu bagi Muhammad Aminuddin Iman Anuar yang memegang watak Culat, kemenangan pada peringkat negeri ini merupakan penghargaan atas usaha keras mereka selama ini.

Aksi Sketsa "Mimpi Apoi" pada pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Labuan.

Aksi Sketsa “Mimpi Apoi” pada pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Labuan.

“Sangat gembira tidak terkata, kerana ia sebagai satu penghargaan kepada guru pembimbing, untuk kami sendiri dan sekolah kerana berjaya merampas semula kejuaraan yang telah diambil pada tahun lepas.

“Kami dibimbing dengan baik oleh guru kami dan sedikit sebanyak menyebabkan kami lebih mudah beraksi di atas pentas dengan lebih yakin,” kongsinya.

Beliau turut berkongsi persediaan dan harapan beraksi di peringkat kebangsaan nanti.

“Persediaan untuk ke peringkat kebangsaan adalah dengan membuat latihan semula dan penambahbaikan dari segi skrip dan peralatan yang digunakan serta terdapat beberapa lagi penambahbaikan seperti kostum setiap watak.

“Sasaran di peringkat kebangsaan pula ingin menjadi johan pertandingan untuk membanggakan guru, ibu-bapa, sekolah, dan Wilayah Persekutuan Labuan ini sendiri “katanya lagi.

SMK Rancha-Rancha menjadi johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Labuan 2019 sekaligus membawa cabaran Labuan dalam Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Perak pada 27 hingga 28 Julai ini.

-SH

Tinggalkan komen anda