
Laporan/foto: Rabiaton Adawiah Ahmed Tajudin/Mohammed Iqbal Ibrahim/Mohd Zahid Othman/Tan Wei Lee
PASIR GUDANG, 1 Jul (Malaysiaaktif) – Satu pasukan petugas melibatkan semua agensi penguatkuasa membuat pemantauan kualiti udara secara serentak di 85 sekolah yang berada dalam pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang.
Agensi melibatkan BOMBA, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kimia, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Pasukan Bantuan Kecemasan Bersama Pasir Gudang (PAGEMA) membuat pemantauan sebaik insiden simptom muntah-muntah dan sesak nafas membabitkan 273 orang berlaku di 27 buah sekolah di sini, semalam.
Terdahulu, sebanyak 16 Sekolah Kebangsaan dan 11 Sekolah Menengah membabitkan 270 pelajar dan tiga orang guru yang terlibat antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, SK Kopok, SJKT Ladang Sungai Plentong, SK Pasir Puteh, SK Taman Cendana, SK Sungai Tiram, SK Ulu Tiram, SK Taman Rinting 3, SK Tanjung Puteri Resort, SK Taman Bukit Dahlia, SK Kong Kong Laut, SK Kota Masai 3, SK Taman Rinting 2, SK Taman Molek, SK Bukit Tiram dan SK Taman Scientex.
Manakala 11 Sekolah Menengah Kebangsaan adalah SMK Pasir Putih, SMK Tanjung Puteri Resort, SMK Seri Alam 2, SMK Taman Nusa Damai, SMK Pasir Gudang 3, SMK Desa Jaya, SMK Kota Masai, MRSM, SMK Taman Scientex, SMK Puteri Wangsa dan SMK Taman Megah Ria.
Bagaimanapun, selepas direhatkan hanya seramai 101 orang dihantar ke Klinik Kesihatan (KK) Pasir Gudang dan KK Masai untuk mendapatkan rawatan saringan.
Selepas saringan kedua di klinik, hanya 10 orang (4%) daripada jumlah mereka yang mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas yang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Sampel darah dan air kencing 10 mangsa telah diambil bagi mengenalpasti punca yang mengganggu kesihatan pelajar-pelajar di sekolah-sekolah sekitar Pasir Gudang.
Sehingga jam 12.00 tengah malam semalam, hanya seorang pesakit ditempatkan di wad biasa Hospital Sultan Ismail (HSI).
Bagi menangani insiden ini, pemantauan dibuat sebelah pagi sehingga selesai sesi persekolahan bagi mendapatkan satu data terkumpul tahap bacaan kualiti udara yang membolehkan pihak kerajaan menyelesaikan insiden ini dengan kadar segera.
Menurut Menteri Tenaga, Sains Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, kes yang terjadi di Pasir Gudang pada kali ini, tidak sama seperti kes di Sungai Kim-Kim.
Bencana Sungai Kim-Kim boleh dikenalpasti melalui lokasi kejadian dan bahan kimia yang menjadi punca penduduk dan pelajar sekolah terjejas, seterusnya boleh mengambil tindakan pembersihan dan pembuangan bahan kimia tersebut.
Kejadian pada kali ini agak rumit kerana bacaan gas yang turun naik ditemui di lokasi-lokasi berbeza dan jauh dari sekolah malahan pihak kerajaan masih tidak dapat menentukan dengan sahih punca yang menyebabkan insiden yang mengganggu kesihatan pelajar-pelajar sekolah.

Yeo Bee Yin akan mengadakan perjumpaan dengan semua pengusaha industri di Pasir Gudang untuk bersama-sama mengambil tindakan dan langkah-langkah bagi memastikan tahap kualiti udara di sini selamat
“Saya akan mengadakan perjumpaan dengan semua pengusaha industri di sini petang ini untuk bersama-sama mengambil tindakan dan langkah bagi memastikan tahap kualiti udara di sini selamat,” ujarnya.
Beberapa intervensi bagi menangani insiden adalah pihak JAS akan sentiasa mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan dalam penyingkiran bahan-bahan sisa industri di lokasi yang berhampiran dengan taman perumahan dan sekolah.
Manakala pihak Kementerian Kesihatan Malaysia pula telah membentuk 18 pasukan First Aid yang akan memberikan pendidikan awal menjaga kebersihan diri.
Pentadbiran sekolah juga mengambil langkah-langkah awal seperti aktiviti pembelajaran di tingkat atas sekolah-sekolah terjejas dipindahkan ke bahagian bawah sekolah tersebut dan aktiviti gerak tumpu bagi pembersihan di kawasan persekitaran sekolah dan taman perumahan dipergiatkan.
-EM