
Laporan/foto: Ramasamy Amas/ Siti Noorezrin Mahmood (Jempol)
JEMPOL, 1 Jul (Malaysiaaktif) – “Saya nak cari duit lebih,” itu hasrat Ainon Zainal (64) yang merupakan salah seorang peserta yang mengikuti kursus bengkel kraftangan dan anyaman rotan yang dikendalikan oleh Jabatan Kraftangan Negeri Sembilan cawangan Kuala Pilah dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jambu Lapan.
Kursus yang dijalankan selama empat hari yang bermula hari ini disertai seramai 25 orang peserta yang rata-rata terdiri daripada surirumah dan juga ibu tunggal.
“Itulah sebab saya sanggup datang dari Kampung Padang Lebar Batu Kikir semata-mata untuk menghadiri kursus kemahiran anyaman rotan kerana ia mempunyai pasaran yang luas sekiranya menghasilkan gubahan yang kreatif serta coraknya dapat menarik orang ramai,” katanya Ainon.
Majlis perasmian bengkel kraftangan dan anyaman rotan ini telah disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras DUN Serting, Abd Rahman Ramli.
Beliau turut berkata bahawa kerajaan negeri menyediakan dana khas kepada usahawan-usahawan kecil termasuk usahawan kraftangan rotan di mana bantuan berbentuk geran sebanyak tiga ribu iaitu dua ribu bagi suntikan modal bentuk bahan mentah dan seribu wang tunai sebagai modal pusingan dan geran tersebut tidak perlu dibayar balik.
Sementara itu, Penolong pengarah Jabatan Kraftangan Negeri Sembilan Cawangan Kuala Pilah, Faisal Ivan Hidayat ketika ditemui berkata, industri anyaman rotan mempunyai potensi yang meluas di negara kita kerana kita mempunyai bahan mentah buluh akar yang terbaik untuk menghasilkan bakul rotan, dulang dan pelbagai bentuk yang menarik.
Bagi menarik minat golongan belia dan beliawanis, kerajaan telah menubuhkan Institut Kraftangan Malaysia yang berpusat di Rawang supaya lepasan pelajar boleh mengikuti kursus dalam pelbagai bidang anyaman dan latihan kemahiran termasuk membuat perabot rotan, jahitan, membuat batu seramik dan tempoh pengajian mengambil masa selama dua hingga tiga tahun di peringkat sijil dan diploma.
Puan S. Susila (47), ibu tunggal yang berasal dari Senawang, Seremban berkata, beliau mendaftar sebagai peserta kursus ini kerana sangat minat dalam bidang kemahiran karftangan dan sanggup datang dari seremban ke Bahau untuk menghadiri kursus ini selama 4 hari.
-KN