
Pelapor/foto: Andi Abdul Rohim (Manjung)
SITIAWAN, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Manjung mengorak langkah baharu memperkenalkan inisiatif Poket Info PMR Manjung dengan menyediakan perkhidmatan menyampaikan maklumat dasar-dasar kerajaan kepada pengguna e-hailing melalui bahan-bahan penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Manjung Adnan Mat Arop, inisiatif ini diambil bagi memastikan penduduk sekitar Manjung terus mendapat informasi mengenai dasar-dasar kerajaan.
“Poket Info PMR adalah beg yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang pemandu dan diisi dengan buku penerbitan yang mempunyai bahan maklumat terkini seperti Risalah Tabung Haji, Rukun Negara, Bajet 2019, Pencegahan Dadah dan sebagainya.
“Perkhidmatan e-hailing di sekitar daerah Manjung seperti Grab dan MyCar serta Mula Car yang baharu beroperasi di negeri ini secara tidak langsung menyemarakkan lagi aktiviti membaca secara santai kepada pelanggan di dalam kenderaan sambil bergerak ke destinasi yang dituju,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Sementara itu, pemandu Grab Mohamad Nizar Mohamad Nordin, 46, berkata usaha PMR Manjung menyediakan poket info ini amat baik kerana perkhidmatan e-hailing ini mendapat sambutan daripada generasi muda, maka maklumat ini amat bermanfaat kepada mereka.
“Tambahan pula daerah Manjung merupakan tempat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara untuk melawat pusat pelancongan seperti Lumut dan Pulau Pangkor pada hujung minggu.
“Oleh itu, pastinya peningkatan pengguna perkhidmatan e-hailing pada masa ini meningkatkan lagi penyebaran risalah bermaklumat ini kepada orang awam,” katanya yang turut berharap risalah berkaitan kesihatan dan pelancongan turut diisi dalam ruangan Poket Info PMR.
Majlis Simbolik Penyerahan Poket PMR Manjung disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka Teoh Yee Chern semasa merasmikan Program Pengimarahan Pusat Maklumat Rakyat dan Lawatan Inspektorat Pusat Maklumat Rakyat Champion Putrajaya di pekarangan Pejabat Penerangan Daerah Manjung, di sini baru-baru ini.
-SH