Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Bakal Manfaatkan Rakyat Kelantan

By 10 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Noor Asmani Che Mat Saleh (Tumpat)

TUMPAT, 10 Jul (MalaysiaAktif) – Kelantan merupakan negeri yang sentiasa terdedah kepada bencana banjir terutamanya pada musim monsun timur laut yang berlaku dari Oktober hingga Januari setiap tahun.

Menjadi kebiasaan bagi penempatan sepanjang delta Sungai Kelantan ditenggelami air akibat limpahan sungai di musim tengkujuh dan berpindah ke tempat lebih selamat atau pusat pemindahan banjir.

Namun dengan terlaksananya Projek Lembangan Sungai Bersepadu bakal memanfaatkan penduduk sepanjang delta Sungai Kelantan khususnya sekitar Kampug Laut kerana tidak perlu berpindah lagi apabila musim tengkujuh.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan (JPS) semasa meyampaikan taklimat kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi di Kampung Laut tadi, projek ini dijangka siap pada 28 Mei 2021.

Turut hadir sama ke lawatan kerja dan taklimat projek ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Nasran Muhammad dan Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal.

JPS Kelantan menjelaskan pembinaan tembok banjir bermula dari Kampung Palekbang hingga Kampung Kok Majid itu melibatkan jarak sepanjang 6 kilometer.

Manakala pembinaan ban banjir juga dibangunkan khusus di Kampung Laut, Tumpat yang merupakan kawasan paling kritikal terdedah kepada limpahan air Sungai Kelantan.

Pembinaan projek ini juga turut menyokong usaha kerajaan Kelantan dalam membangunkan Kampung Laut sebagai Kampung Warisan dan seterusnya merancakkan industri pelancongan serta aktiviti ekonomi di sini.

Pelaksanaan projek ini tidak hanya tertumpu kepada Jajahan Tumpat sahaja, malah menjangkaui Jajahan lain yang bersebelahan dengan Sungai Kelantan.

Komponen kerja projek ini termasuklah projek Mitigasi Banjir, Living River dan Saliran Bandar.

Menurut JPS Kelantan, projek Mitigasi Banjir merangkumi komponen tebatan banjir bagi penambahbaikan Sungai Pengkalan Datu dan muara sungai, Pembinaan tetambak banjir atau tembok banjir bermula di Kampung Palekbang hingga Kampung Kok Majid, Tumpat (6 kilometer) dan tetambak banjir dari Kampung Tikat hingga Kampung Kedai Buluh, Kota Bharu (2.3 kilometer) serta struktur saluran keluar dan sistem saliran berkaitan.

Azmin berbincang mengenai projek PLSB bersama Pegawai JPP, JPS dan ECER

Azmin berbincang mengenai projek PLSB bersama Pegawai JPP, JPS dan ECER

Beberapa pintu kawalan air turut dibina iaitu Pintu Kawalan Air Sungai Pinang (2 bay) dan Pintu Kawalan Air di Sungai Tikat (1 bay).

Bagi Living River, komponen kerja adalah pembinaan perlindungan tebing sungai di 11 lokasi, pembinaan sistem rawatan kualiti air di Sungai Pengkalan Chepa, penambahbaikan saluran sungai dan kapasiti aliran di 17 lokasi.

Saliran Bandar melibatkan komponen kerja penambahbaikan sistem perparitan di Bandar Baharu Tunjung (Saluran keluar Sungai Seribong – Cabang 8 dan 9), saluran keluar Alor KADA (Cabang 16 dan 17) dan Istana Kota Lama.

Di samping itu, projek ini dilengkapkan dengan pembinaan kolam takungan di Sungai Seribong dan Alor KADA Bandar Baharu Tunjung.

Taklimat itu juga memaklumkan pengambilan tanah dianggar melibatkan kos sebanyak RM51 juta dengan keluasan keseluruhan berjumlah 160 ekar.

Lawatan kerja Menteri Hal Ehwal Ekonomi ke Kelantan hari ini memperlihatkan keterbukaan kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan gagasan Kemakmuran Bersama, dengan mengenepikan perbezaan politik demi kesejahteraan rakyat.

-NAZ

Tinggalkan komen anda