
Laporan/foto: Azuraini Abd Majid (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 14 Jul (Malaysiaaktif) – Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2019 yang berlangsung di Institut Profesional Baitulmal, di sini semalam menyaksikan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dari Kementerian Pendidikan Wan Zainudin Ali Asfar, 29, merangkul kejuaaran untuk tahun ini.
Wan Zainudin berjaya menewaskan 10 peserta lain, seterusnya bakal bersaing dan mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke Peringkat Kebangsaan pada bulan September yang akan diadakan di negeri Kedah.
Wan Zainudin memilih tajuk “Rukun Negara Teras Kecemerlangan Bangsa” membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 beserta trofi dan sijil penyertaan.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun menekankan peri pentingnya rakyat berganding bahu membantu kerajaan membina negara yang maju, bersih dan telus menjelang 2025.
“Malaysia yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum perlu memupuk semangat cintakan negara yang lebih utuh bagi menjamin perpaduan negara terus segar melalui sikap toleransi dan saling hormat-menghormati,” katanya ketika merasmikan program.
Jelas Rina lagi, belia perlu melengkapkan diri dengan kemahiran asas, ilmu pengetahuan dan punya sahsiah yang tinggi bagi memastikan agenda negara dapat direalisasikan seiring dengan kemajuan teknologi.
Pertandingan Pidato Kenegaraan antara lain bermatlamat bagi meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kefahaman terhadap dasar-dasar negara, secara tidak langsung dapat mengukuh serta meningkatkan semangat jati diri dan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
Tempat kedua disandang oleh Pembantu Pembangunan Masyarakat Mohd Iqbal Mohammad Nuri, 23, dengan membawa pulang wang tunai RM1,000 manakala tempat ketiga dimenangi oleh penuntut universiti awam Amirul Aliff Nasaruddin, 24, yang menerima wang tunai berjumlah RM500.
Program yang menjadi acara tahunan ini adalah salah satu program teras Jabatan Penerangan Malaysia di bawah portfolio Program Kenegaraan kepada rakyat.
Majlis turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Erwin Khairul Ahmad serta Rektor Institut Profesional Baitulmal Profesor Datuk Dr. Noor Inayah Ya`akub.
-SH