Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

RM3.4 juta Untuk 7,000 Bakal Jemaah Haji Selangor

By 1 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 1 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan RM3.4 juta untuk bakal jemaah haji melalui program Insentif Haji Muassasah Selangor tahun 2019.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, insentif tersebut merupakan antara lebih 40 program yang dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Ini merupakan tahun keempat program ini dilaksanakan sebagai tanda kasih sayang Kerajaan Negeri dengan memulangkan kembali hasil negeri kepada rakyat.

“Seramai 7,000 bakal jemaah Selangor yang berdaftar dengan Tabung Haji (TH) akan menerima insentif bernilai RM500 seorang dan barangan keperluan ketika mengerjakan ibadat haji di Tanah Suci nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Insentif Haji Muassasah Selangor untuk jemaah haji daerah Gombak di Masjid Jamek Al Amaniah, Batu Caves, di sini hari ini.

Salah seorang bakal haji menunjukkan insentif Haji Muassasah Selangor yang disampaikan Menteri Besar, Amirudin Shari (kiri) di Batu Caves hari ini.

Salah seorang bakal haji menunjukkan insentif Haji Muassasah Selangor yang disampaikan Menteri Besar, Amirudin Shari (kiri) di Batu Caves hari ini.

Di majlis tersebut, Amirudin menerima cek bernilai RM3.4 juta daripada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) untuk semua bakal jemaah haji seluruh negeri Selangor tahun ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib; ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham; ADUN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan; ADUN Rawang, Chua Wei Kiat dan Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin.

Mengulas lanjut, Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua berkata TH masih lagi muncul sebagai badan terbaik pengurusan haji di dunia.

“Kerajaan pusat melalui TH mampu meneruskan polisi dan subsidi kepada para jemaah haji kali pertama kerana melalui kaedah ini kita yakin lebih ramai lagi umat Islam di negara ini dapat menunaikan haji.

“Jika dibandingkan dengan negara lain, mereka tidak mempunyai sistem yang selengkap ini malah TH mampu menawarkan pakej yang berbeza-beza walaupun ramai yang menabur tohmah TH akan tutup,” katanya.

Amirudin turut memohon agar para jemaah haji berdoa di Tanah Suci agar negeri Selangor dan Malaysia terus makmur berterusan serta ekonomi segera pulih.

-NAZ

Tinggalkan komen anda