
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 19 Jul (Malaysiaaktif) – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah mencemar duli untuk melawat makam ulamak terkenal, Syeikh Muhammad Nur Al Kholidi di Kampung Sungai Chinchin, di sini hari ini.
Keberangkatan Raja Muda pada kira-kira pukul 4.35 petang dan meluangkan masa hampir 30 minit sambil diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim.
Dalam lawatan tersebut, baginda berkesempatan menziarahi makam, meninjau masjid dan sekitar kawasan kampung serta menunaikan solat Asar berjemaah.
Lawatan ke makam merupakan antara lokasi yang dikunjungi baginda dalam program jelajah selama tiga hari ke daerah Gombak bermula 17 Julai termasuk bersiar di kampung tradisi serta perkampungan orang asli.
Tempat lain yang menjadi lokasi lawatan adalah kilang industri kecil dan sederhana (IKS), Rawang Bypass, Institut Kraf Negara dan Tapak Warisan Batu Arang.
Sementara itu, Penghulu Mukim Setapak, Mohd Fazli Abdul Latif berkata, Syeikh Muhammad Nor berketurunan Mendeleng merupakan alim ulamak terkenal yang dipercayai membuka Kampung Sungai Chinchin sekitar tahun 1890.
“Terdapat sumber mengatakan kawasan ini dahulunya merupakan sebidang tanah kurniaan Sultan Selangor ketika itu kepada Sheikh Muhammad Nur yang berperanan besar di semenanjung Tanah Melayu termasuk Singapura antara akhir abad ke-19 hingga awal abad ke-20.
“Sheikh Muhammad Nur terkenal sebagai seorang pemimpin dan guru yang disegani sehingga berjaya mentadbir kampung ini berteraskan syariat Islam termasuk membina masjid dan menubuhkan sekolah agama,” katanya.
Menurutnya, Syeikh Muhammad Nur meninggal dunia ketika berusia 58 tahun sekitar tahun 1932 dan dimakamkan di kawasan masjid Kampung Sungai Chinchin yang masih kekal hingga sekarang.
-NAZ