Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Kerajaan Sokong Inisiatif Rakyat Usahakan Tanaman

By 19 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Zainaudin Ab Hamid (Baling)

BALING, 19 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan menyokong usaha rakyat untuk meningkatkan taraf hidup seterusnya dapat menambah pendapatan dengan menceburi bidang pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Negeri Kedah Azman Nasrudin, berkata untuk berjaya dalam bidang pertanian adalah mesti ada kemahuan dan usaha.

“Kerajaan sentiasa membantu rakyat dengan memberikan bantuan dan dana tetapi jika tiada usaha dan kemahuan berterusan semuanya menjadi sia-sia,” katanya sempena Program Santai Bersama Anak-anak Dusun Kampung Teluk Teduri, di sini kelmarin.

Menurut Azman lagi program fertigasi tanaman timun yang diusahakan oleh salah seorang penduduk di sini harus menjadi contoh kepada semua kerana usahanya berbakti kepada tanah dan mendapat pendapatan yang baik.

“Dengan adanya contoh sebegini diharap penduduk lain mengambil peluang menimba ilmu dari beliau untuk berjaya dalam bidang ini,” tambahnya.

Azman (tengah) mendegar penerangan daripada Pengerusi MPKK Kg. Teluk Teduri Ismail Derani (berkaca mata).

Azman (tengah) mendegar penerangan daripada Pengerusi MPKK Kg. Teluk Teduri Ismail Derani (berkaca mata).

Penyelaras Parlimen Baling Mohd Taufik Yaacob, berkata hasrat beliau ialah mahu mewujudkan satu kampung mempunyai satu produk.

“Saya menyokong penuh aktiviti sampingan pada waktu lapang di mana penduduk boleh melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti seperti tanaman dan penternakan dalam usaha untuk meringankan kos sara hidup dan menjadi contoh kepada kampung-kampung lain,” ujarnya.

Perintis projek fertigasi tanaman timun Abd Halim Abd Manan, 45, berkata beliau bersedia membantu dan membimbing penduduk lain untuk mengikut jejak langkahnya.

“Saya bersedia untuk memberikan khidmat nasihat serta ilmu bagi mereka yang berminat untuk belajar tentang tanaman timun serta dapat meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya lagi.

Kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak RM15,000 yang dimohon oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Teluk Teduri kepada 10 keluarga untuk menjalankan projek tanaman fertigasi timun ini.

-SH

Tinggalkan komen anda