Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

340 Calon SPM Sertai Jelajah Pendidikan MARA

By 19 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Fasharina Kholil/IKM Sik (Sik)

SIK, 19 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 340 orang pelajar tingkatan lima sekolah-sekolah menengah di daerah sini dan Baling didedahkan dengan peluang-peluang kemudahan pendidikan yang disediakan dan juga peluang kemasukan ke Institusi Pendidikan MARA (IPMa) menerusi Program Jelajah Pendidikan Luar Bandar MARA 2019 @Kedah Peringkat Daerah Sik/Baling yang berlangsung di Dewan Solah Al Jabeer, Institut Kemahiran MARA (IKM Sik), di sini semalam.

Menurut Timbalan Pengarah IKM Sik Kamarudin Atat, menerusi program ini pelajar-pelajar didedahkan dengan peluang-peluang kemudahan pendidikan yang disediakan dan juga peluang kemasukan ke IPMa.

“Ia juga bagi memberi informasi yang lebih jelas tentang kursus yang ditawarkan serta membantu mereka untuk membuat pilihan terbaik kursus yang ingin disertai. Pendedahan awal sebegini secara tidak langsung dapat membantu pelajar membuat pilihan awal kursus-kursus yang diminati serta bersesuaian dengan kehendak pasaran semasa.

Kamarudin (dua dari kiri) berharap agar program jelajah ini dapat membantu memberi maklumat yang lebih jelas berkaitan kursus-kursus yang ditawarkan oleh MARA.

Kamarudin (dua dari kiri) berharap agar program jelajah ini dapat membantu memberi maklumat yang lebih jelas berkaitan kursus-kursus yang ditawarkan oleh MARA.

“Selain daripada itu, ia adalah bagi memberi motivasi kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk terus berusaha mendapat kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran,” katanya yang ditemui semalam.

Menurut Kamarudin lagi, menjadi tren sejak belakangan ini ramai pelajar lepasan SPM cenderung memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Institut Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Saya berharap agar pelajar-pelajar yang menyertai program jelajah ini dapat pendedahan dan maklumat tepat daripada institusi pendidikan yang hadir memberi penerangan seterusnya boleh membuat pilihan yang terbaik untuk menyambung pelajaran dalam bidang yang diminati kelak.

“Mungkin mereka telah mendapat pendedahan awal berkaitan dengan kebolehpasaran graduan serta kursus yang ditawarkan di dalam bidang TVET,” jelasnya lagi.

Kamaruddin turut menambah, sangkaan penuntut TVET adalah daripada golongan yang tercicir dalam akademik wajar ditepis kerana kebolehpasaran graduan adalah tinggi berikutan kerancakan sektor pembuatan dan industri di Malaysia yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran dalam pelbagai bidang.

-SH

 

Tinggalkan komen anda