Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Pindaan Takrifan Belia Galak Penyertaan Remaja Berpersatuan

By 5 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA BELUD, 5 Jul (Malaysiaaktif) – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick yakin pindaan takrifan belia akan menggalakkan lebih banyak penyertaan golongan remaja dalam pelbagai persatuan atau kelab.

Beliau berkata, penyertaan remaja atau belia dalam persatuan secara tidak langsung akan menjadikan mereka sebagai pemimpin barisan hadapan mengurus persatuan itu mengikut acuan mereka sendiri.

“Saya menyokong keputusan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) yang mengubah takrifan had umur belia dari 40 tahun ke 30 tahun.

Ewon disambut mesra penduduk kampung Tambulion.

Ewon disambut mesra penduduk kampung Tambulion.

“Sebenarnya syor pindaan tersebut bukan sesuatu yang baru ianya sudah lama dibincangkan dan dalam beberapa platform yang lepas, saya telah menyatakan pandangan perlunya takrifan belia dikaji semula, saya telah menggunakan takrifan belia remaja (15-25) dan belia dewasa (26-40) dalam beberapa ucapan serta penulisan saya,” katanya ketika mengulas perkara itu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Eko Pelancongan Tindian Komujo (EPTK) dan Penguatkuasaan Tagal, di Kampung Tambulion Ulu Kota Belud, di sini, pada Jumaat.

Pada Rabu lalu Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 diluluskan selepas dibahaskan hampir lima jam oleh 17 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. RUU itu dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain menurunkan had umur, pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian dan Naib Presiden UPKO berkata beliau bergiat aktif dalam persatuan dan kepimpinan organisasi sejak dari sekolah menengah mengetuai Pergerakan Komulakan Upko dari 2005 sehingga 2018.

Ewon merasmikan Eko Pelancongan Tindian Komujo (EPTK) dan Penguatkuasaan Tagal, di Kampung Tambulion turut kelihatan turut kelihatan Pengerusi MPKK Kg Tambulion Ulu Arnie Soluin, Pengerusi EPTK Kunsil Mallan, PPM Kadamaian Saikom Watis dan Setiausaha Perhubungan Awam KPLB Charles Dalansing.

Ewon merasmikan Eko Pelancongan Tindian Komujo (EPTK) dan Penguatkuasaan Tagal, di Kampung Tambulion turut kelihatan turut kelihatan Pengerusi MPKK Kg Tambulion Ulu Arnie Soluin, Pengerusi EPTK Kunsil Mallan, PPM Kadamaian Saikom Watis dan Setiausaha Perhubungan Awam KPLB Charles Dalansing.

“Malah pada lima tahun terakhir saya mengetuai pergerakan ini, dari 2013-2018, saya akui fokus dan aspirasi saya tidak lagi sama dengan fokus dan aspirasi belia-belia muda sepanjang tempoh terakhir saya di Pergerakan Komulakan.

“Saya sudah tidak boleh “bubut” (kejar) aspirasi remaja mereka, sama seperti aspirasi remaja saya kepada pemimpin belia dewasa semasa saya berusia seperti mereka,” katanya.

Ewon berkata, ketika berumur 22 tahun ketika berada pada tahun akhir pengajian di universiti, beliau menyampaikan pidato Aspirasi Belia dan pandangannya mengenai kejanggalan bagi seorang yang bukan lagi berada dalam kelompok usia belia tetapi masih menjadi Presiden Majlis Belia Sabah.

“Saya juga menyatakan aspirasi belia yang berada dalam usia 30-an, 20-an dan belasan tahun sangat berbeza dan itu boleh menjadi jurang kepada penyertaan belia dalam persatuan kerana common of interest yang tidak sama.

“Sehingga hari ini, saya masih berpendapat seseorang yang berusia 36 tahun seperti saya tidak lagi sesuai untuk memimpin atau mengetuai kelab belia yang dianggotai majoriti berusia belasan tahun atau awal 20-an.

Ewon bergambar bersama ahli jawatankuasa Eko Pelancongan Tindian Komujo.

Ewon bergambar bersama ahli jawatankuasa Eko Pelancongan Tindian Komujo.

“Jika itu berlaku, mereka yang berusia belasan tahun dan awal 20-an akan lebih banyak menjadi pemerhati atau pengikut berbanding menjadi frontline kepada kelab mereka dan ini banyak berlaku sehingga ke hari ini,” katanya.

Beliau yakin Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe dapat menggerakkan belia remaja menjadi frontline kepada aktiviti-aktiviti belia selepas pindaan ini.

“Saya turut menyeru adik-adik agar tampil berkepimpinan organisasi dan membuktikan bahawa kalian sebenarnya bukanlah pemimpin masa hadapan, tetapi pemimpin pada hari ini,” katanya.

-EM

Tinggalkan komen anda