Skip to main content
Berita TempatanLabuan

SMSL Wakili Labuan ke Peringkat Kebangsaan

By 21 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 21 Jul (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Sains Labuan (SMSL) menjuarai Pertandingan Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah 2019 Peringkat W.P Labuan yang dilangsungkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantai IB World School, baru-baru ini.

Guru pembimbing sekolah tersebut Yahya Burhanuddin, berkata beliau amat bersyukur atas kemenangan yang diperoleh setelah sekian lama sekolahnya tidak menjuarai pertandingan itu.

“Saya berharap agar pasukan pantun SMSL akan menempa kejayaan dalam Pertandingan Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan di Kuala Langat, Selangor nanti,” katanya ketika ditemui pemberita.

Tetamu jemputan bergambar kenangan bersama pasukan-pasukan yang bertanding.

Tetamu jemputan bergambar kenangan bersama pasukan-pasukan yang bertanding.

Kumpulan pantun SMSL yang menggelarkan diri mereka sebagai Anak Seni Sains Labuan (ASESLA) diwakili oleh Muhammad Afiq Ikram Ramlae, 14, Aiman Shah Ronnie Redzuan, 15, Mohd. Khairuddin Mat Jislim, 15, Nurul Syahidah Suhaili, 14, dan Nurhaziqah Irdina Hassan, 15, dinobatkan sebagai johan pertandingan itu selepas berjaya menewaskan kumpulan pemantun dari SMK Lajau.

Pasukan SMSL bertambah ceria apabila Aiman Shah turut dinobat sebagai Pemantun Terbaik.

SMK Lajau yang diwakili Fatin Liyanah Adilah Basran, 15, Nur Syakirah Shamsuddin, 15, Teo Siti Raydiyana, 15, Siti Nurafiqah Zamri, 15, dan Aiman Safwan Mohamad Johan, 15, berpuas hati di tempat kedua, sementara di tempat ketiga dimenangi SMK Labuan dan SM St. Anthony.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Unit Kokurikulum, Jabatan pendidikan W.P Labuan, Asmawi Ahmad.

-SH

Tinggalkan komen anda