Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Sultan Johor Sultan Ibrahim Berkenan Kendalikan Jentera Combine Harvester

By 21 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Kartina Saruni/Nazri Rapaai (Tangkak)

TANGKAK, 21 Jul (Malaysiaaktif) – Jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019 mencipta sedikit kelainan apabila Kerabat Diraja Johor dibawa melawat ke sawah padi di Kesang Tasek, di sini.

Sebaik sahaja rombongan kembara tiba di Kompleks Sukan Tok Laji Kesang Tasek, Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan menaiki motosikal sambil diiringi anakanda-anakanda puteranya serta rombongan menikmati suasana di tengah bendang.

Kerabat Diraja Johor dibawa melawat ke sawah padi sebaik sahaja tiba di Kesang Tasek, Tangkak

Kerabat Diraja Johor dibawa melawat ke sawah padi sebaik sahaja tiba di Kesang Tasek, Tangkak

Baginda Sultan Johor berkenan mengendalikan sendiri jentera penuai padi combine harvester dan menunjukkan kebolehan membanting padi ketika berkunjung di sini.

Sementara itu, Raja Zarith Sofiah berkenan menunjukkan bakat melukis pemandangan kawasan sawah padi bersama-sama beberapa orang pelukis di sebuah pondok kecil yang berdekatan.

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah berkenan menunjukkan bakat melukis pemandangan kawasan sawah padi.

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah berkenan menunjukkan bakat melukis pemandangan kawasan sawah padi.

Dalam pada itu, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah berkenan menyaksikan pertandingan dan demonstrasi Muay Thai oleh Lion Muay Thai Team Johor dan permainan futsal kain pelikat yang diadakan di Kompleks Sukan Tok Laji, Kesang.

Baginda Sultan Johor turut berkenan menyampaikan sumbangan daripada Johor Corporation berupa cek bernilai RM3000 dan 100 buah buku berbahasa Inggeris sempena Kempen Menggalakkan Membaca Buku Bahasa Inggeris (Books Of Asia) kepada tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Agama Lughatul Quran Kesang, SMK Kesang Tasek dan Sekolah Agama Kesang Tasek.

Tinggalkan komen anda